JOHOR BAHRU: Dua termasuk bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam dihadapkan ke mahkamah di Johor manakala seorang bekas banduan dituduh di mahkamah Kelantan kerana terlibat dalam aktiviti Islamic State (IS) dan Daesh.
Bekas pensyarah, Abdullah Daud, 70, dihadap ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan dia mengangguk faham selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Empat pertuduhan itu ialah menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanamkan ideologi keganasan, membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, di sini untuk menyokong aktiviti keganasan.
Dituduh memiliki dua buah buku bertajuk ‘Hakikat Dienul Islam’ dan ‘Tarbiyah Jihadiyah’ serta dua buku digital dan dua buah video dalam telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.
Dalam prosiding sama, seorang kontraktor, Mohamad Awang, 48, didakwa memiliki item berunsur keganasan dan berkaitan IS dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad .
Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail, mencadangkan tiada jaminan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan mereka ditahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang didakwa dengan kesalahan keselamatan.
Hakim menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Di Kelantan, Seorang bekas banduan ahli kumpulan IS sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas empat pertuduhan memiliki bahan, menyokong dan mengaku keahlian dengan melakukan upacara baiah terhadap pemimpin kumpulan itu pada bulan lalu.
Tertuduh, Nik Mohd. Shalahuddin Zakaria, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes, serahan laporan pakar dan keputusan permohonan pemindahan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Nik Mohd. Shalahuddin ditahan di Johor dan dipenjarakan selama tiga tahun bermula 2018 hingga 2020 selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan IS. – UTUSAN










