Ahmad Zahid beri ‘kelebihan’ kepada PN

Ahmad Zahid beri ‘kelebihan’ kepada PN

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selagi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden UMNO, selagi itu ia memberi ‘kelebihan’ kepada Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ini kerana ramai orang Melayu menganggap Ahmad Zahid sebagai liabiliti kepada UMNO dan kerajaan per­paduan, sekali gus menjadi punca mereka beralih arah kepada PN.

“Saya yakin selagi Ahmad Zahid memimpin UMNO, ia adalah berita baik bagi PN,” katanya ketika diminta mengulas kenya­taan Ahmad Zahid yang menolak kerjasama UMNO dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Presiden Pas.

DIKHIANATI

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu kerana banyak keputusan bersama dikhianati parti komponen PN itu yang turut didakwa menunggang agama Islam.

Tuan Ibrahim berkata, Pas juga tidak akan bekerjasama dengan UMNO selagi Ahmad Zahid menjadi Presiden UMNO dan melihat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebagai isyarat jelas bahawa PN mampu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan kekuatan yang ada.

“Penolakan pengundi Melayu bahkan Cina pada PRK itu jelas menunjukkan rakyat menolak kerajaan yang menyusahkan mereka.

“Keputusan PRK (DUN) Sungai Bakap juga memberi signal jelas PN mampu menghadapi PRU16 akan datang,” katanya.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim, Presiden Pas ketika ini berada pada landasan yang betul dalam memacu parti itu.

“Abdul Hadi telah mengangkat kejayaan besar Pas dalam sejarah perjuangan dan ia petanda beliau berada di atas trek yang betul. Bahkan beliau juga terus istiqamah di atas dasar penya­tuan ummah atas kebaikan dan takwa,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim mendakwa UMNO semakin lemah sehingga terpaksa menyerahkan kerusinya kepada DAP dan PKR seperti kerusi Sungai Bakap, Kuala Kubu Baharu serta Ketari.

ANGKUH

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengingatkan Ahmad Zahid supaya tidak angkuh dan sombong ke­rana tidak selamanya beliau akan mengetuai parti tersebut.

HASHIM JASIN

Katanya, Pas tidak pernah mengisytiharkan UMNO sebagai musuh dan pintu sentiasa terbuka untuk kedua-dua parti itu bekerjasama.

Menurut beliau, kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat sebagai sentimen peribadinya dengan Abdul Hadi meskipun akar umbi UMNO sebenarnya masih mahu melihat kedua-dua parti ber­kenaan bersama.

“Ahmad Zahid tidak sepatutnya keluarkan kenyataan seperti itu seolah-olah dia (Ahmad Zahid) akan terus kekal memimpin UMNO selamanya. Kita tahu, dia pun tidak lama (Presiden UMNO) kerana satu saat nanti akan ada pemimpin lain pula menggantikannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Hashim berkata, sebagai pe­mimpin politik lama, Ahmad Zahid perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan seperti itu yang lebih bersifat peribadi berbanding kepentingan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN