PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah veteran, A.R. Badul mendedahkan beliau berdepan kecaman gara-gara aktif bersiaran langsung di TikTok.
Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 75, berkata, ada pihak beranggapan beliau terlalu berusia, sekali gus tidak sesuai mempunyai akaun di platform itu.
“Ada yang kata saya sudah terlalu tua, tidak perlu bermain TikTok. Tetapi memandangkan ramai juga pengikut yang sebaya dengan saya, mereka bersuara dan mempertahankan.
“Saya tenang sahaja, tidak boleh emosi. Nanti kalau netizen ‘bantai’, lebih teruk saya kena.
“Bagaimanapun, saya tidak menafikan dalam yang mengecam, ramai teruja bila saya ada akaun TikTok. Saya rajin layan mereka sambil berkongsi keadaan kesihatan saya. Mata pun terang lagi untuk baca apa mereka tulis di ruangan komen,” katanya.
Badul mengulas pembabitan artis veteran yang membuka akaun TikTok untuk menjana pendapatan.
Terdahulu, pelakon veteran, Norlia Ghani mendedahkan menerima RM800 sehari sejak aktif melakukan siaran langsung di aplikasi sama bermula awal tahun lalu.
Norlia memaklumkan mula membuka akaun TikTok selepas mendakwa tidak lagi menerima tawaran berlakon sejak setahun lalu.
Badul dalam pada itu memberitahu, beliau berjaya memperoleh pendapatan sehingga RM500 seminggu selepas bersiaran langsung di TikTok.
“Kesedaran untuk buka akaun ini timbul apabila berita palsu kononnya saya sudah meninggal dunia tular. Jadi, saya buka TikTok agar masyarakat tahu perkembangan saya.
“Saya tidak pernah minta gift (hadiah maya) sebab niat asal bukan mahu cari pendapatan di TikTok. Cuma selalunya dapatlah RM500 seminggu, 30 peratus daripadanya saya sumbangkan kepada golongan memerlukan,” katanya. – UTUSAN










