MELAKA: Sebut sahaja buaya, semua terbayang betapa buasnya reptilia yang habitatnya di sungai-sungai yang akan terus membaham haiwan lain termasuk manusia. Buaya betina yang boleh membesar sehingga tiga meter panjang manakala buaya jantan sehingga enam meter sangat menakutkan.
Membayangkan bagaimana bentuk fizikalnya yang besar, bersisik, berkulit tebal dengan mampu membaham haiwan sebesar lembu tidak ada yang sanggup mendekati sang bedal.
Namun lain dengan Saifullah Muhammad Sarath yang sejak usia sembilan tahun sudah didedahkan dengan buaya-buaya di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka di Ayer Keroh.

Sehingga kini, Saifullah, 34, atau popular dipanggil ‘Bang Buya’ yang kini memegang jawatan sebagai penjaga haiwan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka tidak kekok untuk mendampingi 100 ekor buaya yang ada di situ.
Disebabkan ‘keakrabannya’ dengan buaya tanpa mengira saiz, ada segelintir pengunjung yang mengesyaki beliau memakai ‘tangkal’ dan mengamalkan ‘ilmu hitam ’ bagi menundukkan sang bedal dalam jagaannya.
Namun, Saifullah tidak ambil pusing dengan tohmahan jelek dilemparkan kerana matlamat beliau hanya satu iaitu mahu memastikan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka terus dikunjungi pelanggan sekali gus taman ini terus ‘hidup’.
Mengimbau permulaan kerjaya Saifullah, tahun ini ‘Bang Buya’ layak menyambut jubli perak setelah hampir 25 tahun ‘berbakti’ kepada sang bedal di situ, sejak 1999 iaitu ketika dia berusia sembilan tahun.

Sejarahnya bermula semasa zaman kanak-kanaknya yang mahu membantu taman berkenaan yang terkesan akibat krisis kewangan Asia 1997 agar tidak tutup.
Saifullah berkata, bagi memastikan taman itu terus bertahan, ayahnya, Muhammad Sarath Abdullah yang ketika itu memegang jawatan sebagai pengurus besar di situ telah mengemukakan idea berbentuk pertunjukan secara langsung dengan nama, ‘Kanak-kanak Beraksi Dengan Buaya’.
Katanya, oleh kerana telah mendapat pendedahan mengenai haiwan itu sejak kecil, dia langsung tidak menolak apabila ditawarkan peranan itu, sebaliknya komited berlatih bersama buaya pertamanya yang dipanggil ‘Mat Ali’.
“Saya menjalani latihan selama enam bulan bersama dengan tenaga pengajar dan saya dipertontonkan kepada orang awam pada 1999. Zaman kanak-kanak itu perasaan suka mengatasi ketakutan, walaupun semua orang tahu tindakan sedemikian boleh memudaratkan.
“Semuanya bertitik tolak atas dasar kepercayaan iaitu kepercayaan kepada haiwan dan kepercayaan terhadap tenaga pengajar, tambahan pula pengajar saya ketika itu adalah ayah kandung saya.
“Aksi yang ditugaskan adalah berjalan di atas badan buaya, duduk bertimpuh atas badan buaya sambil melambai ke arah pengunjung. Hampir lima tahun melakukan persembahan bersama Mat Ali, seekor buaya tembaga dengan berat 800 kilogram (kg) dan panjang 4.9 meter (m),” katanya kepada Mingguan Malaysia.
DIKAGUMI NEGARA MATAHARI TERBIT
Tambah Saifullah, aksinya bersama Mat Ali sehingga mampu berenang bersama selepas tamat persembahan ternyata mendatangkan reaksi berbeza orang ramai termasuk masyarakat dunia.
Katanya, sebuah stesen televisyen dari Jepun telah menghantar wakilnya bagi membuat laporan terperinci yang diterbit dan disiarkan di negara matahari terbit itu pada 2002.
“Bagaimana kehidupan saya, saya sekolah di mana, di rumah makan apa. Mereka mengambil tahu tentang peribadi saya, sangat terperinci. Saya dimaklumkan pada ketika itu, sayalah kanak-kanak yang pertama beraksi dengan buaya.
“Saya juga tidak lari daripada persoalan mistik, ada pakai khadam, tangkal atau bersahabat dengan makhluk tertentu. Di taman ini kita berlandaskan akademik, perlu rujuk buku manual tentang pengendalian buaya sebelum mengendalikan buaya,” jelasnya.
HARIZ, RAJA SUNGAI MELAKA
Penghulu kepada kira-kira 100 buaya di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka adalah seekor buaya tembaga berasal dari Sungai Melaka yang ditangkap pada 1993.
Jelas Saifullah, dengan berat mencecah 700kg dan panjang 4.3m, buaya yang diberi nama Hariz itu ditemui di bawah rumah penduduk di Kampung Jawa.
“Masa penemuan Hariz di bawah rumah penduduk, 30 tahun lalu di Sungai Melaka, Kampung Jawa kawasan di situ tidak terurus seperti hari ini. Keadaan di situ sangat padat dengan penempatan di sepanjang sungai, jadi buaya itu ditemukan di bawah rumah.
“Saya dimaklumkan ada tiga agensi terlibat untuk operasi penangkapan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.
“Sulitnya pada ketika itu, agensi terlibat tidak begitu mahir dalam pengendalian buaya liar. Yang beruntungnya kita mempunyai kepakaran itu, kita berjaya menangkap Hariz walaupun hanya berbekalkan perahu kecil dan seutas kabel,” katanya.
NYAWA DI HUJUNG MULUT SANG BEDAL
Masih segar dalam ingatan Saifullah, peristiwa-peristiwa yang berpotensi meragut nyawanya semasa menjalankan tugas pembersihan kandang.
Cerita bapa kepada tiga cahaya mata itu, ketika membersihkan salah satu kolam yang dihuni empat ekor buaya, kakinya tergelincir lantas jatuh terduduk dalam takungan berkenaan.
Lebih mendebarkan, kedudukannya ketika itu hanya beberapa inci daripada seekor buaya yang telah mengangakan mulut untuk menerkamnya.
“Apa yang mampu dilakukan adalah mengundurkan diri perlahan-lahan, namun untuk segera bangun juga merupakan perkara yang berisiko atas beberapa faktor, antaranya tebing kolam yang licin dan sebagainya.
“Buaya yang berada di depan saya itu adalah buaya muda. Buaya yang nakal, aktif dan mempunyai tindak balas pantas terhadap apa sahaja ancaman dan pergerakan.
“Bertuahnya saya rezeki pada hari itu, saya bekerja dengan seorang lagi rakan. Dia yang tarik saya keluar. Selepas kejadian itu, saya jadikannya sebagai iktibar perlu berhati-hati dalam semua aspek,” katanya.
JATUH BANGUN TAMAN BUAYA DAN REKREASI MELAKA
Selepas krisis kewangan Asia 1997, lokasi itu sekali lagi diuji dengan pandemik Covid-19 pada 2020 yang memberikan impak langsung kepada pemain industri pelancongan, sehingga mengakibatkan beberapa entiti terkemuka terpaksa menamatkan operasi.
Pengurus Besar Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, Ahmad Syarifuddin Mohamad berkata, walaupun beberapa langkah penjimatan telah diambil termasuk mengehadkan jumlah pekerja, mereka masih menanggung kos operasi yang besar melibatkan aspek pemakanan buaya dan haiwan lain di situ.
Jelasnya, pihaknya memerlukan kira-kira RM100,000 sebulan untuk menguruskan empat speseis utama iaitu buaya tembaga, buaya jejulung, buaya siam dan buaya caimon.
“Untuk sebuah pusat pelancongan sangat bergantung kepada pergerakan manusia. Apabila pergerakan terhad tidak boleh ke mana-mana, industri pelancongan sangat terkesan. Kita masih perlu berbelanja untuk kos penjagaan haiwan dan kos penyelenggaraan.
“Ada pengunjung ataupun tidak kos penyelenggaraan itu perlu berjalan seperti biasa. Kita cuba pelbagai kaedah supaya bertahan antaranya memohon sumbangan masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, cara itu tidak mencapai sasaran dan kita buat pula lawatan secara maya.
“Alhamdulilah rezeki kita dapat sambutan yang amat menggalakkan. Kita dapat bertahan pada waktu sukar itu dan sehingga ini taman ini masih beroperasi dengan usia mencecah 37 tahun,” katanya. – UTUSAN







