KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan beliau bahawa terdapat pihak yang cuba ‘membeli’ sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wan Saiful bagaimanapun menafikan beliau menyebut sebarang butiran kes sehingga boleh menyebabkan perjalanan kes mahkamahnya terganggu.
Menurutnya, beliau hanya menyebut mengenai tawaran-tawaran yang dilakukan kepada pihaknya melalui perjumpaan-perjumpaan sebelum ini.
“Ini adalah gambar perjumpaan tersebut, salah satu daripada perjumpaan. Macam mana nak kata (perjumpaan) ini tidak berlaku? Saya nak dedahkan perkara ini dalam siasatan jawatankuasa 80A. Memang ada usaha.
“Ini bukti kacau ganggu benar-benar berlaku untuk mengajak, memaksa dan membawa saya menyokong Anwar tetapi dia silap orang sedikit,” katanya semasa sidang media di Pusat Media di Bangunan Parlimen semalam.
Terdahulu, Wan Saiful akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya yang didakwa berisiko boleh memberi kesan kepada kes mahkamahnya dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan.
Selain gambar perjumpaan, Wan Saiful turut mendedahkan tangkap layar perbualan dengan pihak berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.
Usul merujuk pemimpin Bersatu itu ke jawatankuasa berkenaan diluluskan melalui undian yang majoriti disikong Ahli Parlimen kerajaan manakala wakil rakyat blok pembangkang keluar Dewan kerana protes.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau menjangkakan kerajaan marah terhadapnya selepas beliau membuat pendedahan pada Februari lalu.
Jelasnya, pihak berkenaan mengatakan tindakan beliau itu menyebabkan usaha untuk mendekati ahli-ahli Parlimen daripada parti Bersatu terpaksa dihentikan.
“Cadangan asal saya selepas berbincang dengan rakan-rakan pimpinan daripada parti untuk bawa dan kemukakan dalam satu jawatankuasa yang dibentuk dibawah 80A iaitu untuk menyiasat aduan dibuat.
“Saya bangun dalam Dewan Rakyat pada 28 Februari dan 21 Mac, dua-duanya itu untuk buat aduan kepada Dewan mengenai apa yang berlaku. Aduan itu sepatutnya menjurus ke arah pembentukan jawatankuasa untuk menyiasat aduan saya.
“Yang saya amat kesal adalah bahan aduan saya digunakan sebagai bukti untuk menyiasat saya pula,” katanya.
Katanya, beliau tidak mempunyai kepercayaan terhadap integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya buat aduan dalam Dewan Rakyat, ini yang berlaku. Cuba bayangkan kalau saya pergi ke SPRM, agak-agak siapa kena tahan? Terus terang saya sebut, saya tidak ada kepercayaan kepada integriti SPRM.
“Bagi saya bawah (Tan Sri) Azam Baki, kita boleh tolak tepi. Reformasi dijanjikan satu pun tidak berlaku,” ujarnya. – UTUSAN










