KANGAR: Seawal pukul 6 pagi, Seah Chong Ghee, 63, dengan motosikal lama jenis Honda Cub sudah keluar rumah bagi menghantar bekalan telur ayam kepada para pelanggan di sekitar negeri ini.
Warga emas tersebut yang meneruskan perniagaan telur legasi keluarga sejak 80 tahun lalu juga berulang-alik lebih 30 kali dari rumah di Taman Seri Murni di sini dengan jarak mencecah 40 kilometer (km) sehari bagi menghantar bekalan telur.
Dalam sehari dia mampu menghantar kira-kira 600 papan atau 36,000 biji telur.
Meskipun dalam zaman serba moden ini penghantaran telur menggunakan pengangkutan seperti van atau lori, namun bagi Chong Ghee, dia lebih selesa dengan motosikal yang sama digunakan mendiang bapanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Chong Ghee berkata, dia mula terlibat dengan perniagaan telur sejak berusia tujuh tahun dengan mengikut bapanya mengutip bekalan dari kampung ke kampung sebelum menjualnya di sekitar Kangar.
Katanya, sejak itu, dia menanam hasrat untuk terus fokus kepada perniagaan diusahakan bapanya yang sehingga kini sudah menguasai sebahagian besar pasaran telur di sekitar daerah ini.
“Sejak dahulu bapa saya sudah mempunyai pelanggan tetap dan saya meneruskan apa yang telah ditinggalkannya dan dalam masa sama mengembangkan lagi perniagaan.
“Biarpun terdapat persaingan daripada pembekal di pasar raya besar, saya yakin kualiti telur yang dibekalkan mampu memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya.
Menurut Chong Ghee, dia memilih menggunakan motosikal bagi menghantar bekalan telur kerana ia lebih mudah dan cepat bagi mengelak kesesakan terutama dalam pekan Kangar.
Selain itu, tambahnya, nilai sentimental pada motosikal ini juga mengimbau memori bersama bapa ketika saya masih kecil di mana kami bersama-sama mengutip telur dan menjual di pasar tani dan pasar malam.
Katanya, dia juga masih masuk ke kampung-kampung bagi mendapatkan bekalan telur ayam.
Dia yang sudah berpengalaman lebih 50 tahun dalam perniagaan ini berkata, kualiti telur ayam di kampung-kampung lebih segar dan mempunyai keenakkan tersendiri.
“Selain itu, ia juga mendapat permintaan tinggi daripada pemilik kedai makan sekitar Kangar,” ujarnya. – UTUSAN











