SEREMBAN: Tiga orang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM7,150 supaya tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017 hingga 2022.
Ketiga-tiga tertuduh Earizal Mohd. Khalil, 41, Ngu Su Siew, 35, dan Mohamad Izuwan Mohd. Ali, 32, yang bertugas sebagai Pembantu Penguasa Kastam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua enam pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh pertama, Earizal sebagai seorang ejen JKDM iaitu Pembantu Penguasa Kastam gred WK19 yang bertugas di JKDM KLIA telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang tunai bernilai RM2,950 daripada pemilik sebuah syarikat.
Wang tersebut diterima melalui pemindahan dalam talian daripada akaun syarikat itu ke akaun bank milik tertuduh.
Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Kuala Pilah antara 28 Mei 2017 hingga 3 Mac 2019.
Bagi pertuduhan keempat hingga enam, tertuduh kedua, Su Siew didakwa memperoleh suapan bernilai RM3,000 manakala tertuduh ketiga, Mohamad Izuwan didakwa memperoleh suapan bernilai RM1,200 daripada pemilik syarikat sama juga atas tujuan yang sama.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Nilai pada 23 Ogos 2019 hingga 20 Disember 2022.
Sehubungan itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu, jika suapan itu boleh dinilai atau bersifat kewangan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pihak pendakwaan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh beserta syarat tambahan serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Peguam,Helmi Hassan yang mewakili Earizal memohon jaminan yang minima atas alasan anak guamnya mempunyai tiga orang anak berusia lima hingga 10 tahun selain menjaga ibu berusia 76 tahun yang tinggal bersama.
Sementara itu, peguam, Adhwa’Afiqah Mohd. Azmi yang mewakili Su Siew dan Mohamad Izuwan juga memohon jaminan rendah memandangkan mereka merupakan penanggung tunggal keluarga dan masing-masing mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor siri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Julai depan.-UTUSAN.










