‘Tidak mohon, jangan salahkan kerajaan’

‘Tidak mohon, jangan salahkan kerajaan’

ANTHONY Loke Siew Fook bersama kereta Kia EV9 yang digunakan sebagai kenderaan penumpang kelas perniagaan Batik Air selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Batik Air dengan Kia di Hotel Sama-Sama, Sepang, semalam. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pengangkutan mengingatkan lebih 180,000 kenderaan pengangkutan barangan supaya segera mendaftar dengan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bagi menikmati harga subsidi diesel ditawarkan kerajaan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kerajaan sudah memberi ruang secukupnya untuk mereka mendaftar dan tidak hanya menyalahkan kerajaan.

“Kalau tidak (mendaftar) mereka akan salahkan kerajaan pula, kata tak bagi subsidi menyebabkan mereka naikkan harga barang. Tanggungjawab mereka untuk daftarkan diri dalam SKDS 2.0,” katanya selepas me­nyaksikan majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Batik Air dan KIA di sini semalam.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, terdapat 389,000 kenderaan kategori itu yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi hanya 209,000 sahaja yang telah mendaftar di bawah SKDS 2.0.

Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan boleh menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

Mengenai harga tiket penerbangan, Loke berkata, kerajaan tidak ada kuasa mengawalnya kerana ia bersifat dinamik dan ditentukan oleh pasaran.

Bagaimanapun, kata beliau, ketika musim perayaan, kerajaan menetapkan harga maksimum bagi penerbangan domestik yang dibiayai menerusi subsidi oleh kerajaan.

“Bagi harga tiket penerba­ngan antarabangsa pula, kerajaan tiada mekanisme tertentu bagi mengawal harga penerba­ngan berkenaan,” katanya sebagai mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam yang mendakwa harga tiket penerbangan seperti tiada tanda untuk turun pasca pandemik Covid-19.

Kata Loke, kenaikan harga tiket boleh diatasi dengan mewujudkan lebih banyak persaingan dan kekerapan penerbangan.

“Batik Air akan memperkenalkan 20 pesawat baharu dalam enam bulan menjadikan 50 pesawat menjelang akhir tahun ini.

“Bila ada banyak pesawat dan kekerapan penerbangan maka, harga tiket akan ditentukan oleh pasaran. Pelanggan boleh memilih penerbangan mengikut keupayaan mereka,” katanya.

Terdahulu, Loke menyempurnakan majlis pelancaran perkhidmatan pemindahan terminal swasta premium bagi penum­pang kelas perniagaan Batik Air.

Penumpang kelas perniagaan Batik Air akan mendapat per­khid­matan pemindahan mewah antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit di Terminal 1 KLIA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN