Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran di Taman Tema Genting Highlands - Utusan Malaysia

Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran di Taman Tema Genting Highlands

TIADA mangsa terlibat dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam kebakaran di bangunan di Taman Tema Genting Skyworlds (outdoor), dekat Genting Highlands di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengesahkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran bangunan di Taman Tema Genting Skyworlds (outdoor), Genting Highlands di sini hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.55 petang membabitkan tingkat dua bangunan terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, operasi mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kira-kira pukul 5.01 petang berjaya memadamkan api sepenuhnya pada pukul 6.30 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohamad Zaidi berkata, kebakaran tersebut dipercayai bermula daripada tingkat dua bangunan dan merebak ke tingkat empat dalam tempoh masa yang singkat.

Katanya, pasukan bomba menggunakan dua aliran hos dan mengambil air dari pili bomba berdekatan bagi memadamkan kebakaran yang hanya melibatkan luar bangunan.

“Operasi kali ini membabitkan kekuatan seramai 36 anggota bomba termasuk tiga pegawai daripada tiga balai bomba termasuk Balai Bomba Genting Highland, Bentong dan Janda Baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN