SEOUL: Tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran selepas beberapa askar Korea Utara menceroboh sempadan negara itu, awal minggu ini.
Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS) dalam kenyataan berkata, tentera Korea Utara itu dikatakan terlibat dalam urusan tidak diketahui di sebelah utara sempadan, bertindak melintasi garisan sempadan, Ahad lalu.
Katanya, askar Korea Utara itu kembali ke wilayah mereka selepas tentera Korea Selatan melepaskan tembakan dan mengeluarkan amaran.
Bagaimanapun, pihaknya mendapati Korea Utara tidak melakukan sebarang aktiviti lain yang mencurigakan.
Sempadan darat yang dipenuhi lombong adalah sempadan bersenjata paling lengkap di dunia, dengan ratusan ribu tentera tempur mengawal antara satu sama lain.
Ia adalah warisan sejak perang Korea 1950-1953, yang berakhir dengan gencatan senjata dan bukan melalui perjanjian damai.
Insiden pencerobohan sempadan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Korea Selatan dan Korea Utara kebelakangan ini.
Ini berikutan, Korea Utara menghantar beratus-ratus biji belon berisi sampah yang dipenuhi puntung rokok dan tisu tandas terpakai ke arah Korea Selatan sebagai membalas penghantaran belon anti-Pyongyang yang diterbangkan oleh aktivis. – AGENSI










