KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) akan dimuktamadkan dan diumumkan sebelum Oktober ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan itu sedang diperhalusi dan kini dalam perbincangan di peringkat akhir bersama beberapa kementerian.
“Sebelum Oktober. Tidak lama dah. (Cadangan) masih di peringkat perbincangan dan sebarang perubahan harga dan sebagainya melibatkan perbincangan empat hingga lima kementerian.
“Bukan hanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang buat keputusan mengenai harga (BPT) tetapi kementerian lain juga.
“Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta beberapa kementerian lain juga,” kata beliau.
Mohamad berkata demikian selepas melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ yang berlangsung pada 1 hingga 22 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan beberapa pihak bagi menaikkan harga syiling beras tempatan yang ketika ini masih dikawal oleh kerajaan.
KAMPIT
Ketika ini harga beras tempatan dijual RM2.60 sekilogram atau RM26 bagi kampit 10 kilogram dapat dinaikkan. Syor menaikkan harga beras tempatan itu perlu selepas lebih 15 tahun harganya tidak disemak.
Pihak pengilang juga terpaksa menanggung kerugian besar disebabkan harga siling beras tempatan yang rendah itu, manakala pesawah turut berdepan situasi sama di sebalik kenaikan kos input pertanian dan operasi tanaman.
Mengikut perkiraan kos untuk menghasilkan sekilo beras adalah 46 sen atau RM460 bagi satu tan metrik meliputi beberapa kos lain seperti operasi, utiliti dan pelbagai lagi.
Selain itu, dengan harga siling beras RM2.60 atau RM26 untuk kampit 10 kilogram didakwa ramai pengilang memanipulasi beras tempatan dengan melabelkan sebagai beras import.
Tindakan itu menyebabkan, orang ramai terus merugut kerana beras tempatan dengan harga RM26 bagi kampit 10 kilogram tiada di pasaran.
Susulan itu, pada November tahun lalu, Mohamad memaklumkan kerajaan perlu meneliti cadangan Badan Kawal Selia Padi dan Beras supaya harga siling BPT dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding harga siling semasa iaitu RM2.60 sekilogram.
Ia mengambil kira impak kenaikan itu dengan keputusan yang dibuat bakal memberi kesan kepada hampir 300,000 komuniti yang terbabit dalam setiap rantaian berkenaan meliputi pesawah, pengilang komersial, pemborong dan peruncit. – UTUSAN








