KANGAR: Penetapan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) perlu dibuat selewat-lewatnya penghujung Julai atau awal Ogos ini, iaitu sebelum pesawah menuai hasil musim ini.
Langkah itu sejajar dengan jadual penanaman padi khususnya di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang mula menunai hasil pada pertengahan Ogos sehingga September.
Jika kerajaan mengumumkan kenaikan harga siling BPT pada Oktober, ia boleh menyebabkan pengilang tidak berani menawarkan harga padi terbaik kepada para pesawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, pengumuman lebih awal itu bakal memberi keadilan kepada pengilang serta pesawah sendiri dan kerajaan diharapkan mempertimbangkan perkara tersebut.
Selain itu, katanya, harga siling baharu beras tempatan yang ideal dicadangkan ditetapkan oleh kerajaan ialah RM36 ke RM37 bagi berat 10 kilogram (kg) selain menyeragamkan harga berkenaan dengan beras import.
Ujarnya, jika tidak diseragamkan harga, dikhuatiri isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran akan terus berulang selain tidak berupaya menyelesaikan masalah manipulasi menukarkan gred beras tempatan kepada import oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan juga perlu menyeragamkan harga beras tempatan dan import itu, kalau tidak kenaikan itu akan jadi sia-sia sekiranya beras tempatan masih ‘hilang’ di pasaran.
“Kenaikan itu bagi menyelesaikan isu penipuan gred beras ini kerana apa yang berlaku ketika ini (ketiadaan beras tempatan) disebabkan penipuan yang berlaku disebabkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, keputusan mengenai kenaikan harga siling beras putih tempatan akan dimuktamadkan dan diumumkan sebelum Oktober ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, cadangan itu sedang diperhalusi dan kini dalam perbincangan di peringkat akhir bersama beberapa kementerian.
Ketika ini harga beras tempatan dijual RM2.60 sekilogram atau RM26 bagi kampit 10 kilogram. Syor menaikkan harga beras tempatan itu perlu selepas lebih 15 tahun harganya tidak disemak.
Pihak pengilang juga terpaksa menanggung kerugian besar disebabkan harga siling beras tempatan yang rendah itu, manakala pesawah turut berdepan situasi sama di sebalik kenaikan kos input pertanian dan operasi tanaman.
Sementara itu, Marzukhi berkata, kenaikan harga beras tempatan pada harga yang dicadangkan RM36 ke RM37 itu tidak akan membebankan pengguna memandangkan ketika ini mereka juga perlu mengeluarkan perbelanjaan sama membeli beras import memandang ketiadaan beras tempatan di pasaran sejak sekian lama.
Katanya, setiap keluarga membabitkan lima orang menggunakan beras sekurang-kurangnya 650 gram sehari bagi dua kali makan atau memerlukan 20 kilogram setiap bulan dengan harga kira-kira sekitar RM70 sahaja.
Ujarnya, di sebalik kenaikan pelbagai harga barangan sebelum ini, beras tempatan masih dengan harga sama RM26 sejak belasan tahun lalu dan sudah tiba masanya dinaikkan yang dianggap realistik dengan situasi semasa.
“Selain itu, cadangan harga tersebut juga dilihat memberi situasi menang-menang kepada pengilang dan pesawah yang terus terkesan dengan kos operasi dan penanaman padi yang terus meningkat,” katanya.
Tambah Marzukhi, isu ketiadaan beras tempatan di pasaran sepatutnya tidak berlaku memandangkan pengeluaran beras negara ketika ini sebanyak 1.6 juta tan metrik setahun berbanding import 1.1 juta tan metrik.
“Bagi menampung keperluan 3.5 juta rakyat Malaysia, sebanyak 2.8 juta tan metrik makanan ruji tersebut diperlukan setahun,” katanya.
Sementara itu, bagi golongan pesawah pula mereka turut mencadangkan agar beras putih tempatan dan import bagi berat 10 kilogram diselaraskan kepada RM36.
Melalui harga berkenaan, harga belian padi tidak mustahil boleh mencecah RM1,800 sehingga RM1,900 per tan dengan termasuk subsidi, mereka boleh menjana pendapatan sehingga RM2,400 sekali gus memberi sedikit ‘nafas’ kepada golongan berkenaan. – UTUSAN










