PEKAN: Ketika rakyat sudah biasa menerima kenaikan tarif elektrik, harga bahan api diesel dan petrol serta pelbagai caj lain, timbul persoalan besar mengapa harga beras yang merupakan makanan ruji utama seolah-olah menjadi ‘pantang’ untuk dinaikkan walaupun sedikit.
Seorang pesawah, Shahudin Mohd. Ros, 56, yang lebih 30 tahun dalam bidang itu berkata, golongan tersebut pada ketika ini seolah-olah menjadi mangsa dasar yang tidak seimbang.
“Kalau 10 kilogram (kg) beras dinaikkan RM2, ia bukan habis dimakan dalam sehari. Satu keluarga lima orang boleh bertahan seminggu. Tetapi bil telefon dan internet yang dibayar setiap bulan tidak pernah dipersoalkan. Mengapa makanan ruji dianggap tidak boleh disentuh?” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Shahudin berkata, kos baja, racun, diesel dan tenaga kerja meningkat mendadak sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Kami terpaksa menanggung kos lebih RM2,600 hingga RM2,700 bagi setiap tan metrik padi. Tetapi kilang hanya mampu membeli pada harga RM2,300 kerana jualan beras dikunci pada RM2.60 sekilogram. Akhirnya kami yang rugi.
“RM2 untuk 10 kilogram bukanlah beban besar. Tetapi bila harga tidak bergerak, akhirnya pesawah gulung tikar. Bila itu berlaku, siapa yang menjamin bekalan beras negara?,” soalnya.
Seorang lagi pesawah, Azhar Rejab, 54, berkata, industri padi dan beras negara kini diibaratkan seperti retak menanti belah apabila rantaian bekalan makanan ruji berkenaan dilaporkan sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang semakin meruncing.
Dakwanya, situasi itu tercetus ekoran penetapan harga jualan beras putih tempatan pada kadar RM2,300 per tan metrik, yang tidak lagi realistik dengan kos pengeluaran semasa sehingga menjejaskan seluruh ekosistem industri.
Katanya, walaupun skim harga padi ketika ini ditetapkan pada RM1,500 dengan tambahan subsidi RM500 bagi setiap tan metrik, ia masih gagal menampung lonjakan kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung petani.
“Keadaan menjadi lebih parah apabila kos sebenar untuk memproses dan mengeluarkan beras di peringkat kilang ketika ini sebenarnya sudah mencecah antara RM2,600 hingga RM2,700 per tan metrik.
“Disebabkan jurang kos yang terlalu besar tersebut, pihak kilang tiada pilihan lain selain terpaksa mengenakan kadar pemutuan atau potongan berat padi yang tinggi terhadap hasil yang dibawa oleh petani.
“Langkah drastik ini terpaksa diambil demi memastikan keberlangsungan operasi kilang supaya tidak gulung tikar, namun kesan rantaiannya menyebabkan petani menerima pulangan yang amat rendah manakala pihak pengilang pula kini semakin hilang minat untuk membeli padi di pasaran,” katanya.
Azhar yang lebih 25 tahun menjadi pesawah berkata, struktur harga semasa hanya memberi keuntungan kepada pihak pemborong manakala kilang padi tempatan yang selama ini sentiasa mendukung petani terpaksa bergelut dengan kerugian berpanjangan.
“Kemelut ini turut memberi kesan langsung kepada pengguna apabila beras tempatan pada harga kawalan RM26 bagi setiap 10 kilogram kini boleh dikatakan hampir tiada lagi di pasaran.
“Apa yang ada di pasaran ketika ini hanyalah lambakan beras putih import yang dijual pada harga paling rendah sekitar RM28 bagi setiap 10 kilogram, sekali gus membuktikan bahawa dasar sedia ada gagal melindungi rakyat dan pemain industri tempatan,” dakwanya. – UTUSAN










