KUANTAN: Kerajaan Pusat dan negeri perlu meninjau dan mengambil tindakan segera bagi menentukan tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, dekat sini sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan selamat bagi pengguna jalan raya.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa kemalangan perlu dielakkan di jalan raya terutama sekali apabila aliran trafik bertambah di musim perayaan, cuti sekolah dan cuti umum.
Justeru, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya satu tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelakkan ia berulang kembali.
“Dalam sama yang sama, pengguna juga perlu lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati. Perlu diingatkan juga, pemandu mesti berada dalam keadaan sihat dan cukup rehat bagi mengelak hilang kawalan atau ‘microsleep’.
“Ini kerana statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima tahun lalu iaitu 2020 hingga kini di jalan berkenaan merekodkan sebanyak 65 kes kemalangan dengan 79 orang maut. Antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah letih, mengantuk dan kecuaian.
“Al-Sultan Abdullah berpandangan jika semua perkara ini ditangani bersama di antara pihak berkuasa dan pengguna jalan raya ia bukan sahaja dapat memberi keselesaan, malah keselamatan penumpang dan pemandu akan lebih terjamin dan dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, empat mangsa termasuk dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka disahkan meninggal dunia dalam kemalangan dianggarkan kira-kira pukul 12.30 pagi apabila sebuah bas persiaran terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan 22 guru dan lima kakitangan SK Jeram bersama keluarga mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Mohamed Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
“Kebawah Duli Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan dukacita dan berharap agar seluruh ahli keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan ini. Baginda berdua mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat oleh SWT dan ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.
“Bagaimanapun, baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana seramai 36 ahli rombongan yang terdiri daripada guru dari SK Jeram selamat dan hanya mengalami kecederaan serta mendoakan semoga mereka dikurniakan kesembuhan segera,” katanya. – UTUSAN










