Subsidi bersasar: PM dulu tiada tekad politik

Subsidi bersasar: PM dulu tiada tekad politik

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan kakitangan awam pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Jun Tahun 2024 di Puspanitapuri, Putrajaya di sini semalam. – utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua Perdana Menteri sebelum ini bersetuju dengan langkah penyasaran subsidi, namun mereka tidak ada tekad politik untuk melaksanakannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau mengetahui penya­saran subsidi adalah langkah tidak popular dan ada risiko atas keputusan tersebut namun Kerajaan Perpaduan tiada pilihan demi menyelamatkan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut sedar tindakan itu akan dihentam, dimaki dan difitnah oleh pelbagai pihak termasuk membuat penipuan walaupun langkah tersebut adalah satu perubahan lebih baik.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan yang tidak popular, tetapi untuk selamatkan negara.
“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu apa pun kita lakukan kita akan dihentam habis-habisan, segala fitnah dan penipuan, tidak semestinya (puak memfitnah) pakai songkok, serban, tapi tipu terus-menerus.

“Penyasaran subsidi ini semua Perdana Menteri sebelum ini telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan. Risikonya ada tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” kata Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kewa­ngan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel runcit di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter berkuat kuasa semalam dan langkah tersebut akan menjimatkan kewangan ngara akibat ketirisan bahan bakar itu RM4 bilion setahun.

Bagaimanapun Amir memberitahu, harga diesel tanpa subsidi itu akan diapungkan mengikut harga pasaran dan dibuat berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, semua ketua jabatan dalam perkhidmatan awam disyorkan disekat kenaikan pangkat jika mereka tidak melaporkan kegiatan ra­suah atau salah guna kuasa di bawah jabatan seliaan masing-masing.

JABATAN

Menurut beliau, adalah mustahil salah laku yang sudah bertahun-tahun dalam sebuah jabatan, tetapi ketuanya seolah-olah mengizinkan perkara itu walaupun sedar sistem itu sudah rosak.
“Kalau dalam jabatan itu nampak terang ada salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor? Mengapa ketua unit tidak tahu? Amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak diketahui.

“Dalam keputusan kita mengenai pelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat sekiranya tahu di bawahnya sistem itu bobrok dan tidak diizinkan dilaporkan terus,” kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) akan menentukan kaedah dan ketetapan bahawa ketua jabatan mesti me­laporkan kesalahan itu.

Ini kerana, katanya, tanggungjawab mereka bukan ha­nya menyelamatkan imej dan integriti penjawat awam tetapi menyelamatkan negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN