Simbolik melontar Jamrah lancar

Simbolik melontar Jamrah lancar

MOHD. Na’im Moktar ketika beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia ketika melawat Pusat Perubatan Mina di Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Semua jemaah haji Malaysia berjaya melakukan lontaran secara berperingkat mengikut jadual Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Kompleks Jamrah di sini malam kelmarin.

Malah rata-rata jemaah haji Malaysia terutama bagi mereka yang pertama kali melaksanakan ibadah ini menyifatkan ia sebagai satu pengalaman sangat berharga.
Bagi Ashraf Alam 37, tiada kata-kata dapat digambarkan apabila diberi peluang menunaikan ibadat haji.

“Rata-rata jemaah haji telah melontar di Jamrah Sughra, Jamrah Wusta san Jamrah Kubra yang merupakan salah satu wajib haji.

“Alhamdulilah ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya kepada pemberita semalam.

Melontar merupakan perkara simbolik daripada perbuatan Nabi Ibrahim yang membaling batu ke arah syaitan yang cuba mengganggu baginda dan anaknya, Nabi Ismail melaksanakan perintah Allah.

Nabi Ibrahim membaling batu sebanyak tiga kali kepada syaitan yang cuba menghasut baginda supaya mengingkari perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail.

Dalam pada itu, Ismail Abdul Rahim 53 berkata, meskipun berdepan cabaran selama 45 hari di Tanah Suci de­ngan suhu panas hingga 50 darjah Celsius.

“Kesabaran amat dituntut.Sebagai contoh, ketika menunaikan ibadah melontar jamrah, keadaannya agak mencabar kerana kami perlu berjalan berulang-alik hampir tujuh kilometer dalam cuaca panas antara Mina dan Jamrah,”ujarnya.

KEBAKARAN

Sementara itu, jemaah haji di Mina gempar ekoran kebakaran yang berlaku di salah sebuah khemah milik syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagaimanapun kejadian itu tidak mengganggu operasi haji semalam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Moktar berkata, semua pihak tidak perlu bimbang dengan kebakaran tersebut kerana kejadian itu tidak menjejaskan atau mencederakan jemaah.

“Punca kejadian kebakaran masih disiasat oleh pihak ber­kuasa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang mengambil tindakan pantas dan dapat mengawal situasi dalam jangka masa pendek,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Mohd. Naim berkata demikian ketika diminta mengulas isu kebakaran membabitkan sebuah dapur di khemah milik PJH berhampiran kompleks Jamarat semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji ) melaporkan tiga kematian baharu termasuk seorang yang meninggal semalam membabitkan jemaah PJH.

Katanya Allahyarham Sakinah Jalil, 66, dari Sungai Buloh, Selangor meninggal dunia di pekarangan sebuah pasar raya di Syisa akibat serangan jantung pada pukul 4.30 petang, kelmarin.

“Dua lagi kematian ialah jemaah dari Jengka, Pahang, Allahyarham Baharuddin Mohd Shood berusia 75 tahun dan Allahyarham Abd Manaf Hanafiah, 65, dari Alor Setar, Kedah.

“Allahyarham Baharuddin meninggal dunia pada 11 Jun 2024 pukul 5.10 petang akibat kanser usus yang didapati sudah merebak ke sistem hem­pedu.Manakala Allahyarham Abd Manaf meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital Makkah Medical Centre, pada 13 Jun 2024 pukul 5.30 petang.

Tambah Mohd. Naim, keba­n­yakan pesakit yang dimasukkan ke hospital ini disebabkan cuaca panas di Arafah, Muzdalifah dan Mina mengakibatkan beberapa jemaah jatuh sakit disebabkan masalah berkaitan paru-paru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN