Seorang lagi jemaah haji meninggal dunia

Seorang lagi jemaah haji meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Seorang lagi jemaah haji meninggal dunia pada malam Rabu lalu akibat serang­an jantung.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Allahyarham Mohd. Zahir Ismail, 58, berasal dari Alor Setar, Kedah meninggal dunia semasa menunaikan umrah pertama.

Katanya, mangsa yang me­netap di Maktab 78 merupakan jemaah haji kedua meninggal dunia setakat ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Allahyarham dilaporkan melakukan tawaf umrah pertama bersama isterinya dan jemaah dari maktab yang sama sebelum tiba-tiba rebah di mataf.

“Mohd. Zahir daripada pe­nerbangan KT66 baru sampai di Mekah pada 29 Mei dan pada malam selepas Isyak, mereka semua laksanakan umrah pertama. Namun, Allahyarham rebah akibat serangan jantung di tempat tawaf,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), kelmarin.

Tambah Syed Saleh, Allahyarham kemudian dikejarkan ke klinik terletak dalam Masjidilharam sebelum dikejarkan ke Hospital Arab Saudi, namun disahkan sudah meninggal dunia.

“Jenazah kemudian disolatkan selepas zuhur di Masjidilharam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, di sini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata, seramai 62 jemaah haji Malaysia kini menerima rawatan ekoran pelbagai masalah kesihatan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 10 jemaah dirawat di Hospital Mekah manakala selebihnya di Pusat Rawatan Tabung Haji.

Beliau menambah, semua pesakit berkenaan dimasukkan ke hospital selepas mengalami penyakit seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), kencing manis, darah tinggi dan penyakit berkaitan haba serta cuaca.

“Mereka kini stabil dan dirawat. Saya ingin mengingatkan agar menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi dalam keada­an cuaca yang agak panas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini