PETALING JAYA: Pelakon, Nora Danish, mengakui selesa mengenakan hijab kerana memudahkan urusannya menunaikan solat.
Oleh itu, Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, akan memilih pakaian menutup aurat sepanjang menjaga bekas suami, Nedim Nazri, di hospital.
“Saya sebenarnya mahu berkongsi tentang penampilan saya kerana mencetuskan banyak tanda tanya.
“Jadi, kalau saya menjaganya (Nedim) di hospital, saya memakai pakaian yang senang untuk mengerjakan solat dan dalam masa yang sama saya mengaji juga. Lebih senang memakai pakaian yang menutup aurat,” katanya.
Nora berkata demikian menerusi sebuah video di akaun TikTok bagi menjawab persoalan orang ramai mengenai imej berhijab yang dimuat naik di media sosial sejak Jumaat.
Bagaimanapun, pelakon Aku Terima Nikahnya itu tidak mengesahkan sudah berhijab sepenuhnya namun berterima kasih kepada peminat yang mendoakannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua (netizen) yang tidak henti-henti mendoakan saya.
“Saya hargai dan saya harap doa anda, doa ibu saya, dan doa saya juga Allah makbulkan insya-Allah,” katanya.
Dalam video yang sama, Nora juga enggan mendedahkan sakit yang dialami Nedim kerana menyifatkan perkara tersebut sebagai hal peribadi.
“Seperti yang semua sedia maklum, Nedim sekarang berada di hospital dan dalam tempoh penyembuhan. Saya tidak boleh kongsi maklumat lanjut tentang sakit Nedim kerana itu adalah urusan peribadinya dan keluarga,” jelasnya.
Pada 19 Jun, Nora Danish dan Nedim sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Sepanjang tujuh tahun perkahwinan, Nora dan Nedim dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl,6.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.
Sementara itu, Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabilah Khan pada 2011 dan bercerai dua tahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Nedrin, 12. – UTUSAN










