Semua tidak layak tanding Top 5, tidak cukup dua penggal

Semua tidak layak tanding Top 5, tidak cukup dua penggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada seorang pun dalam kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang layak bertanding lima jawatan teratas (Top 5) dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada September ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas MPT Bersatu, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, mengikut pemahamannya, kesemua MPT termasuk Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat dua penggal MPT jika mengikut perkiraan pemilihan pertama pada Ogos 2020.

Katanya, sebelum tahun tersebut, tiada sebarang pemilihan parti yang dijalankan, sebaliknya jawatankuasa protem yang dibentuk menyaksikan ahli Bersatu dipilih melalui proses lantikan.

“Jawatankuasa protem tidak boleh dikira kerana sesiapa sahaja boleh keluar atau masuk jawatan dan parti. Memang benar ketika itu semasa menjadi penaja, Muhyiddin menjadi Presiden. Tetapi, ia hanya status penaja, kemudian baharulah beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan pada 2020.

“Keputusan pemilihan pada 2020 tidak boleh dicabar dan itu adalah pemilihan kali pertama manakala yang kedua hanya akan berlangsung pada tahun ini. Saya percaya, tiada seorang pun dalam Majlis Tertinggi yang layak bertanding kerana semuanya tidak lengkap dua penggal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Proses pemilihan Bersatu kali ini dihimpit persoalan jika klausa Perkara 14.14 perlembagaan parti dalam memastikan pertandingan top 5 hanya layak disertai mereka yang menjadi MPT lengkap selama dua penggal atau sebaliknya.

Media melaporkan, jika klausa berkenaan tidak dilonggarkan, terdapat kemungkinan 77 daripada keseluruhan 83 wakil rakyat Bersatu tidak layak bertanding jawatan top 5 atau ketua sayap parti pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, Muhammad Zahid menggesa bekas Penasihat Perlembagaan Bersatu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad mengulas perkara itu, kerana beliau yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan parti semasa memegang jawatan.

“Saya percaya beliau boleh kupas dengan lebih baik,” katanya.

Kata Muhammad Zahid, Bersatu perlu berlapang dada setelah mendengar penjelasan Radzi kerana yakin kedua-dua mempunyai pandangan yang serupa.

“Pandangan Radzi mesti diambil kira. Ahli parti tidak boleh bertelagah sesama sendiri, saya tidak mahu parti akhirnya sesat di hujung jalan.

“Memang semua orang dalam parti ada kepentingan politik masing-masing, tetapi isu ini mesti diselesaikan segera. Jangan jadikan isu ini menjadi satu episod lawak jenaka untuk orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN