BEIJING: Sekurang-kurangnya sembilan maut dan 17 lagi hilang selepas hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di wilayah pantai China di Guangdong dan Fujian.
Pasukan Pengurusan kecemasan tempatan memaklumkan, lima individu maut, manakala 15 lagi hilang dan 13 terperangkap dalam kejadian di Guangdong, semalam.
Sishui, sebuah bandar di wilayah itu, mencatatkan hujan berterusan dalam tempoh 24 jam.
Bencana banjir mendorong pihak berkuasa meningkatkan tahap tindak balas kecemasan dan menghantar helikopter untuk memindah serta menghantar bekalan kepada mereka yang terjejas.
Sementara itu, empat maut dan dua hilang di wilayah Fujian akibat hujan ribut yang diklasifikasikan oleh biro meteorologi wilayah sebagai ‘peristiwa ekstrem’, lapor penyiar kerajaan CCTV.
Hujan lebat di daerah Wuping di Fujian sejak petang Ahad, menyebabkan 378 kediaman penduduk ranap dan mendorong pihak berkuasa melancarkan pelan tindakan kecemasan banjir.
Sejak beberapa hari lalu, hujan lebat yang melanda wilayah itu, memecahkan rekod sejarah di daerah Wuping. Ia mengakibatkan kerugian ekonomi di daerah itu sekitar AS$77.4 juta (RM364 juta).
Di Chongqing, hujan lebat menyebabkan paras air di lima sungai meningkat sehingga tiga meter, menurut CCTV.










