Satu kes keracunan kupang berlaku di Melaka

Satu kes keracunan kupang berlaku di Melaka

JUALAN hasil laut dwicengkerang seperti kerang dan kupang dari perairan Melaka dihentikan sementara, selepas didapati tidak selamat untuk dimakan kerana terdapat biotoksin dan alga berbahaya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Satu kes keracunan makanan dipercayai berkaitan kupang dilaporkan berlaku di negeri ini, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia melibatkan seorang pesakit lelaki berusia 34 tahun yang dimasukkan ke Hospital Alor Gajah dekat sini untuk rawatan.

Jelasnya, bagaimanapun tahap kesihatan mangsa dilaporkan stabil dan dijangka keluar dari hospital hari ini.

Ujarnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Perikanan sama ada kes berkenaan berpunca daripada pengambilan dwicengkerang itu.

“Memang ada satu kes Hospital Alor Gajah dipercayai berkaitan kes keracunan kupang, tetapi masih dalam siasatan lagi oleh Jabatan Perikanan sama ada ia sah atau sebaliknya. Pesakit dimasukkan ke wad sejak Sabtu lalu namun sudah sihat dan akan keluar dalam waktu terdekat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah dilaporkan berkata, analisis sampel air dan kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan mendapati, kandungannya masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak dibenarkan untuk dimakan.

Menurutnya, analisis mendapati bacaan toksinnya sudah semakin berkurangan dan menghampiri kadar piawaian standard yang ditetapkan iaitu 800 per bilion (ppb).

April lalu, jualan hasil laut dwicengkerang seperti kerang dan kupang dari perairan Melaka dihentikan sementara, selepas didapati tidak selamat untuk dimakan kerana terdapat biotoksin dan alga berbahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah berjaga-jaga dari peringkat awal perlu diambil bagi mengelakkan kes keracunan makanan berlaku di Melaka sebagaimana terjadi di Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN