KUALA LUMPUR: Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan analisis forensik akan diserahkan kepada pihak pembelaan bulan depan sebelum Mahkamah Sesyen di sini mula mendengar perbicaraan lelaki warga Israel Avitan Shalom berkaitan kes senjata api dan peluru pada 30 September ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan, pihaknya memohon tempoh sebulan kerana rakaman CCTV dan analisis itu merupakan sebahagian daripada dokumen yang belum diserahkan kepada pembelaan.
Sehubungan itu, Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 30 Julai ini bagi sebutan kes untuk status penyerahan dokumen kes itu.
Terdahulu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh tidak membantah berhubung tarikh baharu sebutan kes bagi serahan dokumen lanjut sebelum perbicaraan yang telah ditetapkan pada September ini.
“Pihak pembelaan memohon segala dokumen berkaitan kes diserahkan sebelum tarikh bicara,” kata peguam itu.
Sebelum ini mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini bagi perbicaraan kes.
Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.
Pada prosiding itu, Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lalu.









