SETIU: Seorang peniaga mampu meraih pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan dengan menjual pelbagai perisa yogurt yang dihasilkan sendiri di Bandar Permaisuri dekat sini.
Faziruddin Mamat, 44, berkata, idea untuk menghasilkan yogurt sendiri tercetus apabila dia teringin menikmati laban atau susu masam seperti yang pernah dinikmati ketika berada di tanah suci.
“Pertama kali saya mencuba laban adalah ketika mengerjakan umrah pada Febuari tahun lalu dan selepas mencubanya, saya jatuh cinta dengan rasa minuman tersebut.
“Apabila pulang ke tanah air, agak sukar untuk mendapatkan laban yang rasanya hampir sama meskipun banyak minuman berasaskan yogurt dijual,” katanya ketika ditemui di Bandar Permaisuri di sini, kelmarin.
Jelasnya, sejak beberapa bulan lalu, dia terdetik hati untuk mencuba membuat sendiri minuman yogurt dengan mempelajarinya daripada seorang kenalan dari Kelantan.
Menurutnya, selepas itu dia mula melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan mencuba pelbagai cara bagi menghasilkan produk yogurt tersendiri.
“Saya sudah melibatkan diri dalam perniagaan minuman ini sejak 2018 lagi menggunakan kemahiran yang ada dengan menghasilkan susu yogurt pelbagai perisa.
“Setelah beberapa kali percubaan, akhirnya berjaya. Saya memberikannya kepada rakan-rakan terdekat untuk dicuba dan rata-rata mereka menyatakannya sedap dan boleh dijual,” katanya.
Faziruddin memberitahu, ketika ini dia telah menghasilkan 16 perisa yogurt antaranya strawberi, mangga, kiwi, durian belanda, beri biru dan blue lemon.
Tambahnya, antara perisa paling laris dan mendapat permintaan tinggi adalah strawberi yang dijual dengan harga RM6, RM8 dan RM30 mengikut saiz botol. – UTUSAN











