Pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Iran, 5 Julai

Pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Iran, 5 Julai

CALON Presiden Iran, Saeed Jalili (kiri) dan Masoud Pezeshkian.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHRAN: Pilihan Raya Presiden mengejut di Iran menuju ke pusingan kedua pada 5 Julai depan kerana tiada calon yang memperoleh lebih 50 peratus undian.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pilihan Raya, Mohsen Eslami berkata, calon reformis tunggal, Masoud Pezeshkian akan berdepan pesaing ultrakonservatif, Saeed Jalili dalam pusingan kedua pemilihan.

Menurut ibu pejabat pilihan raya, Pezeshkian memperoleh lebih 10.41 juta undi, manakala Jalili berada di belakangnya dengan 9.47 juta undi.

Sementara dua lagi calon, iaitu Speaker Parlimen Konservatif, Mohammad Bagher Ghalibaf dan pemimpin Islam konservatif, Mostafa Pourmohammadi tersingkir daripada pertandingan, selepas masing-masing memperoleh 3.38 juta undi serta 206,397 undi.

Pilihan raya itu diadakan bagi menggantikan Raisi, yang meninggal dunia dalam kemalangan helikopter pada 19 Mei lalu.

Kementerian Dalam Negeri Iran memaklumkan, hanya 40 peratus daripada lebih 61 juta individu layak mengundi yang menunaikan tanggungjawab, kadar terendah direkodkan dalam pilihan raya presiden sejak revolusi 1979 di negara itu.

Iran merekodkan peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah lebih empat dekad negara itu, sewaktu pemilihan yang melayakkan Presiden Ebrahim Raisi memegang jawatan, dengan 48.8 peratus.

Sikap tidak peduli pengundi dipercayai berpunca daripada kekecewaan terhadap insiden protes pada 2022-2023 dan cabaran ekonomi negara, dengan lebih 40 peratus inflasi akibat salah urus serta sekatan Amerika Syarikat (AS).

Ini adalah kali kedua Tehran mengadakan pusingan kedua Pilihan Raya Presiden sejak Revolusi Islam 1979.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN