Program PDK perlu reformasi untuk pulihkan anak autisme

Program PDK perlu reformasi untuk pulihkan anak autisme

HABSAH Yusof ketika ditemu bual oleh wartawan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan perlu melakukan reformasi dalam pelaksanaan program pemulihan dalam komuniti (PDK) yang beroperasi memberikan pemulihan, latihan dan pendidikan bagi orang kurang upaya (OKU) termasuk kanak-kanak autisme

Pengerusi Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan, Habsah Yusof berkata, reformasi dalam pelaksanaan PDK perlu dilakukan kerana ketika ini ia dilihat tidak ubah sebagai satu pusat jagaan dan bukannya sebagai pusat pemulihan ataupun rehabilitasi.

Jelas beliau, kebanyakan ibu bapa terutama yang kurang berkemampuan sangat bergantung harap kepada pengoperasian PDK berbanding pusat-pusat dikendalikan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan program intervensi awal (EIP), namun dengan caj lebih tinggi.

Katanya, dengan pengoperasian yang betul termasuk petugas diberikan latihan dan pendidikan termasuk berkaitan terapi khusus menerusi EIP yang baik, objektif PDK untuk memulihkan OKU dan kanak-kanak istimewa boleh dicapai.

“Petugas di PDK ini tidak ada latihan khusus, kebanyakan tidak tahu apa-apa mengenai kanak-kanak istimewa yang datang ke sana. Sepatutnya PDK ini menjadi pusat rehabilitasi (pemulihan) tetapi kini dilihat seperti menjadi sebuah pusat jagaan sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Habsah, dengan tindakan yang lebih baik di peringkat awal di PDK, ia pastinya dapat membantu, contohnya mengurangkan tahap dihadapi kanak-kanak sindrom Down malah boleh membantu mereka yang menghadapi autisme untuk sembuh dan pada akhirnya dapat berdikari sendiri.

“Sepatutnya dari usia 0 sehingga enam tahun, kanak-kanak di PDK perlu sudah berada di tahap bersedia untuk ke sekolah, sekurang-kurangnya kanak-kanak ini dapat memberikan tumpuan dan fokus ketika program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah.

“Ekoran EIP tidak berjalan dengan baik di PDK, kanak-kanak istimewa ini seterusnya tidak bersedia ketika di sekolah. Keadaan tersebut menyaksikan timbul banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa kerana tidak banyak perkembangan terhadap anak-anak mereka termasuk ketika di PPKI,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada PDK termasuk menerusi peruntukan lebih besar supaya reformasi yang diinginkan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jika mahu berjaya dan demi masa depan kanak-kanak istimewa sehingga mereka mampu berdikari malah menyambung ke pendidikan tertinggi, tindakan awal mesti dilakukan iaitu melalui reformasi di PDK yang menjadi harapan kebanyakan ibu bapa yang memiliki kanak-kanak istimewa,” kata­nya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×