Kasih sayang tidak sembuhkan anak autisme

Kasih sayang tidak sembuhkan anak autisme

HABSAH Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Individu yang didiagnosis autisme mempunyai peluang untuk sembuh dan dapat berdikari seperti individu normal lain sekiranya mereka diberikan intervensi lebih awal.

Pengerusi Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan, Habsah Yusof berkata, program intervensi awal (EIP) yang dilaksanakan termasuk pengetahuan mengenai diet, terapi dan penggunaan suplemen kesihatan.

Menurut beliau, banyak kes di luar negara di mana kanak-kanak autisme dapat sembuh, seterusnya berjaya sehingga mempunyai kerjaya yang baik dan melanjutkan pelajaran hingga ke universiti hasil pelaksanaan EIP.

Namun begitu, kata Habsah, EIP di negara ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh termasuk menerusi program pemulihan dalam komuniti (PDK) yang sepatutnya menjadi harapan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa termasuk autisme.

“Anak autisme ini boleh sembuh sekiranya ibu bapa yang ada anak istmewa ini ada kemahiran dan didedahkan dengan kemahiran EIP tersebut.

“Namun, malangnya EIP ini sangat kurang dilaksanakan di negara kita malah boleh saya katakan ia lemah. Di PDK juga begitu, para petugasnya tidak terlatih, kanak-kanak istimewa termasuk autisme ini perlu diajar secara berstruktur melalui EIP ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Akhbar ini menerusi laporan muka hadapannya semalam mendedahkan kes autisme di negara ini meningkat dengan sebanyak 25,580 individu telah didiagnos autisme dalam tempoh tiga tahun.

Statistik orang kurang upaya (OKU) aktif subkategori pembelajaran autisme oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan peningkatan kes antara 2021 sehingga 2023 iaitu sejumlah 4,734 kes dicatatkan pada 2021, diikuti 8,489 kes pada 2022 dan 12,357 kes pada tahun lalu.

Habsah yang merupakan bekas Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban berkata, jumlah OKU masalah pembelajaran dalam kalangan autisme merupakan yang paling ramai dicatatkannberbanding OKU masalah pembelajaran dalam kalangan individu buta dan pekak.

“Sebab itu masalah autisme ini perlu mendapat perhatian sejak awal. Ia boleh dikenal pasti sejak awal kerana kelaziman ciri kanak-kanak autisme ini adalah mereka tidak pandang ke arah kita apabila dipanggil, tiada eye contact (hubungan mata).

“Autisme ini tidak boleh sembuh dengan hanya rasa sayang dan kasihan, ia perlu ilmu dan latihan khususnya dalam kalangan ibu bapa dan institusi yang diberikan tanggungjawab berkaitan dengannya.

“Ketika ini apabila kita bercakap mengenai anak autisme, ia tanpa kita membincangkan kaedah untuk menyelesaikan masalah itu. Apabila isu membabitkan kanak-kanak autisme berulang dan kelak kita hanya ‘bising’ lagi satu negara,” katanya lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×