Pilih bidang lanjut pengajian ikut minat

Pilih bidang lanjut pengajian ikut minat

Sejumlah 402,956 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal memulakan sesi peperiksaan itu secara bertulis yang akan bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran meneruskan pengajian dengan memilih bidang mengikut minat masing-masing supaya tidak memberi kesan kepada diri pada masa akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nuradli Ridzwan Shah berkata, walaupun negara sedang menuju perkembangan teknologi baharu iaitu kecerdasan buatan (AI), pelajar tetap diberi pilihan untuk mengikuti bidang diminati.

“Jika pelajar kurang berminat dalam bidang ini, ia akan memberi kesan kepada diri pelajar itu sendiri dan dia tidak dapat menguasai jurusan tersebut seterusnya menyebabkan mereka terkandas.

“Malah, jika mereka ambil jurusan AI tetapi tidak bekerja dalam bidang sama, kesannya akan menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara dari segi produktiviti,” katanya.

Menurutnya, sudah sampai masa kerajaan memberi sokongan dari segi aspek fasiliti teknologi dan digital demi memastikan negara menghasilkan guna tenaga yang cekap dan kompeten dalam bidang AI.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan lepasan SPM perlu menetapkan hala tuju tepat agar bidang dan jurusan yang diambil masih ‘laris’ di pasaran, juga selaras perkembangan teknologi baharu iaitu AI.

Ini penting supaya pelajar akhirnya dapat menempatkan diri dalam bidang pekerjaan, sekali gus kadar pengangguran dapat dikurangkan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Ramlee Mustapha berkata, mungkin tidak ramai melanjutkan pengajian dalam bidang AI kerana pencapaian mereka dalam subjek Sains dan Matematik kurang menyerlah.

“Kita melihat trend di mana generasi muda mula meminati menggunakan aplikasi dan gajet AI tetapi kita perlu membezakan antara ‘pengguna’ AI dan mereka yang ‘mahir’ dalam bidang AI.

“Subjek Sains dan Matematik sangat penting dalam pembangunan aplikasi AI, dan ia menyediakan pelajar asas yang kukuh untuk membina aplikasi AI.

“Untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran AI, pelajar perlu mengetahui bahasa pengekodan dan pengaturcaraan dengan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN