KUANTAN: Sri Pahang gagal ke suku akhir Piala FA selepas tewas 3-4 kepada Penang FC menerusi sepakan penalti di Stadium Majlis PerbandaranTemerloh di sini.
Mohd. Nabil muncul wira Penang FC selepas penalti terakhir diambilnya berjaya menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan selepas Mohd. Fadhli Shas gagal menyudahkan sepakannya.
Bermula separuh masa pertama, anak buah Fandi tidak menunggu lama untuk cuba membolosi gawang lawan melalui percubaan Stefano Brundo seawal dua minit perlawanan bermula.
Sepakan percuma penyerang itu ke penjuru kiri pelawat berjaya ditepis keluar penjaga gol Penang FC, Shik Izhan Nazrel Shik Azman yang membawa kepada sepakan sudut pertama tetapi gagal dimanfaatkan oleh pemain hadapan Sri Pahang.
Minit ke-5, Penyerang Penang FC berjaya menembusi kekebalan pertahanan Sri Pahang apabila Mohd. Nabil berjaya membolosi bola ke gawang tuah rumah.
Sri Pahang bernasib baik gol tersebut tidak dikira selepas bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain berusia 31 tahun itu berada dalam kedudukan offside ketika menjaringkan gol.

Sri Pahang FC terus menguasai perlawanan dan pemain bawah 23 tahun negara, Adam Alif Mustaffa juga berpeluang membuka jaringan tetapi percubaannya menghampakan kira kira 5,000 penyokong Tok Gajah yang hadir ke stadium.
Begitu juga dengan percubaan pemain tengah Sri Pahang, Mohd. Azam Azih yang hanya menyaksikan bola tersasar sedikit di kiri gawang Penang FC walapun penjaga gol sudah tertewas.
Mohd. Nabil akhirnya berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-41 selepas jaringan penyerang berasal dari Pendang, Kedah itu disahkan melalui bantuan VAR.
Anak buah Fandi cuba bangkit pada minit-minit akhir separuh masa pertama tetapi beberapa hantaran Kpah Sherman kepada Manuel Hidalgo sering terkandas di benteng pertahanan Penang FC sehingga kedudukan 1-0 kekal.
Bersambung babak kedua, Fandi membuat pertukaran awal membawa masuk pemain kebangsaan, Sergio Aguero tetapi corak pemain itu tidak banyak mengubah rentak Sri Pahang kerana perlawanan masih tampak seimbang di antara kedua pasukan.
Pertukaran dilakukan Fandi dengan membawa masuk Mykola Ahapov membuahkan hasil apabila pemain itu menjaringkan gol penyamaan Sri Pahang pada minit ke-78, sekali gus membawa permainan tambahan 30 minit lagi.
Peluang ke suku akhir Piala FA akhirnya terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas 120 minit tiada tambahan jaringan untuk kedua dua pasukan. – UTUSAN










