KUANTAN: Biarpun berdepan bencana ribut dan kepala angin kelmarin, kariah Masjid Tareq Bin Ziyad di Kempadang Perdana di sini tetap bersemangat meneruskan ibadah korban, esok.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka giat melakukan persiapan kali kedua selepas sebahagian tempat penyembelihan, pemotongan dan agihan daging musnah akibat ribut.
Pengerusi masjid, Zulkifli Hassan berkata, bencana seumpama itu sememangnya tidak pernah diduga.
Menurutnya, ini kerana sejak 10 tahun pengoperasian masjid tersebut di tapak berkenaan tidak pernah berlaku sebarang kejadian ribut atau kepala angin.
“Sehari dua baru-baru ini kita mengalami satu bencana ribut dan kepala angin yang kuat. Ekoran kejadian itu, kanopi masjid yang dijadualkan untuk kerja-kerja menyembelih, melapah dan mengagihkan daging telah roboh ditiup angin kencang.
“Bukan itu sahaja, kebanyakkan bahan dan simpanan makanan yang kita sediakan untuk memasak bagi jemaah pada sebelah malam esok juga ada yang pecah dan rosak.
“Dalam waktu begini kita perlu persiapan yang cepat, jadi kita bertindak terus membeli yang baru dan akan menggunakan sepenuhnya untuk program Aidiladha kali ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebanyak 12 ekor lembu akan dikorbankan di masjid ini dan akan diagihkan kepada kira-kira 400 penduduk termasuk asnaf.
Dalam pada itu, pengurus program ibadah korban, Zainal Azhar Ahmad berkata, kejadian yang berlaku itu sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka.
“Walau macam mana pun, pihak pengurusan dan pentadbiran masjid sedaya upaya akan uruskan untuk kita buat persiapan hari raya korban pada hari esok,” katanya. – UTUSAN










