KUALA LUMPUR: Genap lima hari pasukan pendakwaan bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menutup kes mereka, gelanggang perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali dibuka.
Kini, ‘baton perbicaraan’ beralih kepada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion digunakan sebagai bayaran kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).
Turut didakwa atas pertuduhan serupa dan akan dibicarakan bersama ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Selain kes 1MDB yang mana peringkat pendakwaan baru ditutup Khamis lalu dan kes pecah amanah harta kerajaan ini, Najib masih mempunyai satu lagi kes iaitu membabitkan pengubahan wang haram dana syarikat SRC International berjumlah RM27 juta yang akan mula dibicarakan September ini.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah bagi tuduhan menyeleweng dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat 1MDB.
Pada 3 Mac 2023, Najib telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan dirinya dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Turut dibebaskan daripada pertuduhan serupa ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Bagi kes pecah amanah yang akan didengar oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, mahkamah telah menetapkan perbicaraan pada 4 hingga 6, 10 hingga 13, 19 dan 20, 24 hingga 27 Jun dan diikuti 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18, 22 hingga 25, dan 29 hingga 31 Julai ini.
Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula 3 April 2023 namun ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu susulan surat daripada Muhammad Shafee yang memohon penangguhan atas alasan terdapat perkembangan terbaharu.
Perkembangan yang dimaksudkan ialah perbincangan penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan firma pelaburan Abu Dhabi membabitkan jumlah yang sama dan merupakan subjek utama bagi kes itu.
Terdahulu pada 3 Mac 2022, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Najib dan Mohd. Irwan agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pendakwaan bersedia menjalankan perbicaraan.










