PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam supaya tidak terikut-ikut dengan tindakan pembangkang dengan mempercayai fitnah yang disebarkan terutama berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Perdana Menteri berkata, ini termasuk menggelar beliau sebagai anak angkat Amerika Syarikat dan menuduhnya mengikut nasihat Yahudi selain mendakwa Kementerian Kewangan meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Beliau berkata, kumpulan penjawat awam perlu tahu fakta sebenar di sebalik isu-isu yang dimanipulasikan itu untuk mempertahan penegasan kerajaan sekarang.
“Penjawat awam harus ikuti (fakta sebenar), itu bukan ceramah politik maki hamun orang dan dajalkan orang dan kafirkan orang.
“Seperti mereka lakukan di Sungai Bakap (ceramah pilihan raya kecil), saya dipanggil anak angkat Amerika, Kementerian Kewangan pinjam dari IMF dan saya ikut nasihat Yahudi, ustaz pakai kopiah dan jubah tapi fitnah terang-terang.
“Fakta di sebalik itu adalah mana mungkin ini semua (fitnah yang disebut). Sebagai penjawat awam nak pertahan Perdana Menteri bagaimana menjadi alat Amerika? Jadi sebab itu saudara harus tahu, apa yang berlaku dalam MAHB,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin, Anwar menjelaskan, Malaysia tidak sekali-kali menggadai prinsipnya menerusi perubahan pemilikan saham dalam MAHB kepada syarikat asing, sebaliknya MAHB selaku syarikat menguruskan semua lapangan terbang negara ini tetap menjadi milik tanah air.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih pemegang saham majoriti dengan 70 peratus manakala selebihnya 30 peratus pegangan akan dimiliki Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).
Malah Perdana Menteri berkata, pengurusan MAHB termasuk Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) masih rakyat Malaysia sepertimana syarat ditetapkan Khazanah dalam pembentukan konsortium tersebut.
Anwar berkata, beliau tidak ada masalah jika mahu menegur setiap keputusan dasar yang mahu dibuat, tetapi perlu bersandarkan fakta yang betul.
Katanya, negara berunding secara langsung dengan GIP pada tahun 2021 ketika kerajaan pimpinan terdahulu.
“Jadi saya sebut ini kerana saya anggap penjawat awam berhak mengetahui kerana ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang.
“Jadi saya harap saudara juga ambil perhatian, jangan terbawa dengan fitnah. Nak buat teguran tidak ada masalah.
“Keterangan fakta itu berbeza dengan apa yang dicanangkan di luar, bagi rakyat yang tidak tahu tidak mengapa tetapi penjawat awam tanggungjawab saudara mengambil tahu bukan tolong kipas sama,” katanya.











