ISKANDAR PUTERI: Seorang penganggur sanggup menjadi ‘transporter’ kepada sebuah sindiket dadah dengan membawa masuk bekalan ganja ke negeri dengan upah antara RM2,000 hingga RM5,000.
Walau bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 28 tahun itu tidak bertahan lama apabila dia dicekup polis di tepi jalan di kawasan Horizon Hills, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek ditahan pada pukul 2.30 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika memandu sebuah Honda City dan pemeriksaan oleh Unit Cawangan Rondaan Bermotosikal (URB) menemukan dadah disimpan di dalam tempat simpanan barang kereta terbabit.
“Hasil pemeriksaan, kita menemui 63,487 gram atau 60 peket ganja yang dianggarkan bernilai RM210,150 yang diletakkan di but kereta itu. Hasil siasatan mendapati lelaki itu menjadi ‘transporter’ kepada sindiket dadah untuk diserahkan kepada sindiket lain di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Kumarasan berkata, risikan yang dijalankan mendapati suspek dipercayai bergerak secara berkumpulan dengan mendapatkan bekalan dadah dari negeri lain dan dibawa masuk ke negeri ini untuk pasaran tempatan.
Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 64,000 penagih jika terlepas ke dalam pasaran.
“Sindiket ini berpangkalan di Johor dan aktif sejak Januari lalu. Suspek dipercayai dalam perjalanan untuk bertemu seseorang untuk menyerahkan bekalan ganja itu, identiti seorang lagi suspek itu telah kita kenal pasti.
“Setiap kali lelaki yang kita tahan ini membuat penghantaran stok dadah, dia akan menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000,” jelasnya.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ganja dan suspek kini direman hingga Sabtu ini serta kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihaknya juga sedang giat menjejaki seorang lagi suspek dikenali sebagai L. Kesavah Raj berusia 30 tahun dan beralamat di Taman Bukit Indah, Johor Bahru. – UTUSAN










