Penduduk terkejut banjir kilat berlaku selepas 16 tahun - Utusan Malaysia

Penduduk terkejut banjir kilat berlaku selepas 16 tahun

MOHAMAD Hasan turun padang bertemu penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di Kampung Paroi, Seremban baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Kampung Paroi di sini menyifatkan projek pembesaran Jalan Seremban-Kuala Pilah berkemungkinan menjadi punca kawasan tersebut terjejas dalam kejadian banjir kilat yang berlaku ketika ini.

Seorang daripada mereka, Muhammad Iqbal Ramli, 32, berkata, kejadian banjir kilat itu begitu mengejutkan penduduk kerana ia berlaku 16 tahun selepas kali terakhir banjir berlaku di situ.

Menurutnya, dalam kejadian pada 20 Jun lalu, air sungai mula melimpah ke jalan kira-kira pukul 5.30 pagi dan dia segera mengalihkan barangan penting dan kenderaan ke kawasan selamat.

“Kali terakhir banjir berlaku pada tahun 2008, masa tu memang banjir besar, air naik lebih dari satu meter sehingga menyebabkan pagar rumah juga runtuh. Kali ini air naik separas 0.3 meter sahaja namun, beberapa barangan seperti perabot tidak dapat diselamatkan dan rosak.

“Saya tidak pasti mengapa banjir kilat ini berlaku namun sejak kebelakangan ini terdapat kerja pembesaran jalan ke Kuala Pilah. Mungkin ini salah satu faktor kejadian banjir berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas kejadian banjir yang berlaku pada 2008 itu, tindakan mendalamkan sungai dan membina gabion telah diambil bagi mengelakkan kejadian banjir kilat daripada berlaku.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat mencadangkan langkah tertentu yang mampu mengurangkan masalah banjir di kawasan itu.

“Ada sebahagian dari dasar Sungai Paroi tersebut yang perlu di dalamkan dan banyak juga gabion di tebing sungai yang sudah musnah dan perlu dibina gabion baru untuk menahan tebing sungai dari terus runtuh,” katanya.

Beliau juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan untuk memeriksa dan memantau kerja pembesaran Jalan Seremban-Kuala Pilah yang sedang dijalankan di hulu sungai yang mungkin menjadi penyebab kejadian banjir kilat tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×