PETALING JAYA: Kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza kini bukan saja berdepan risiko dibom rejim Zionis malah terpaksa menghadapi penularan penyakit berjangkit bawaan air seperti kolera, cirit-birit, disenteri dan hepatitis A.
Ini kerana kemudahan air bersih di wilayah tersebut hampir musnah 100 peratus akibat kerakusan tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lalu sehingga memaksa rakyat Palestin di Gaza menggunakan air tercemar dalam kehidupan seharian.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam berkata, risiko penularan jangkitan penyakit itu semakin meningkat kerana Gaza kini sedang berhadapan musim panas mencapai 31 darjah Celsius hampir setiap hari.
Beliau berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyumbang kepada penularan penyakit tersebut disebabkan hampir kesemua lokasi bekalan air musnah dibedil.
“Setakat hari ini, sebanyak lebih 345,000 kes cirit-birit dilaporkan termasuk 105,000 daripadanya membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Selain itu, terdapat hampir 8,000 kes hepatitis A direkodkan.
“Kebanyakan kes dilaporkan membabitkan kira-kira 1.2 juta pelarian yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di selatan Gaza. Jumlah itu mungkin meningkat akibat cuaca panas yang sedang melanda wilayah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Omar berkata, penularan penyakit berjangkit di Gaza amat membimbangkan kerana sektor kesihatan di Gaza sudah hampir lumpuh sepenuhnya kerana separuh daripada hospital sudah tidak berfungsi.
“Pada masa sama, hospital yang ada juga hanya separa berfungsi akibat kerosakan apabila turut menjadi sasaran tentera Israel. Jika penyakit bawaan air ini terus menular Gaza akan ditimpa malapetaka,” katanya.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 38, ketika berkongsikan masalah itu berkata, keadaan menyayat hati itu dimaklumkan oleh bapa mentuanya baru-baru ini.
Kata beliau, usahanya untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga mentua gagal disebabkan pelbagai halangan.
“Perkara yang amat membuat saya rasa pilu apabila Baba (ayah mentua) minta air minuman. Mereka sangat dahaga dengan cuaca agak panas ketika ini dan terpaksa minum air tidak bersih.
“Bukan sahaja Baba tetapi ramai lagi orang di kawasan pelarian itu sangat-sangat susah untuk mendapatkan bekalan air bersih ketika ini,” katanya.- UTUSAN










