JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan hukuman terhadap responden bagi kes pencemaran udara di Pasir Gudang dinaikkan ke RM80,000 bagi setiap pertuduhan.
Justeru, Syarikat P. Tech Resources Sdn. Bhd., yang dihadapkan dengan lapan pertuduhan pilihan perlu membayar denda keseluruhan RM640,000 dan antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal melengkapkan premis dengan kelengkapan bagi menjalankan pemantauan prestasi sistem kawalan pencemaran udara, menjalankan pemantauan berkala serta gagal memastikan sistem kawalan pencemaran udara diselia pihak berwibawa.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya berkata, mahkamah membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan dan meningkatkan hukuman denda ke atas responden berkenaan selepas meneliti semua rekod rayuan dan mempehalusi hujahan lisan dan bertulis pihak pendakwaan dan pembelaan.
Beliau menaikkan jumlah denda itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen dalam alasan penghakimannya gagal menghayati tujuan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang digubal oleh Parlimen.
“Hakim Mahkamah Sesyen itu menumpukan mindanya kepada lapan kesalahan pentadbiran yang dilakukan oleh responden. Jika Jabatan Alam Sekitar tidak melakukan pemeriksaan ke atas premis kilang responden, kesalahan ini akan berlaku secara berterusan dan ia akan mendatangkan pencemaran udara yang teruk kepada penduduk sekeliling. Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan mencakupi kualiti hidup yang sihat dan pencemaran udara sebahagian perkara yang boleh mengganggu kualiti kehidupan manusia sejagat,” katanya.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Sesyen, di sini memutuskan syarikat itu hanya didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan denda berjumlah RM320,000.
Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, setiap kesalahan mencemar udara boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Abu Bakar berkata, Hakim Mahkamah Sesyen juga gagal menimbangkan kekerapan kes pencemaran udara yang berlaku di Johor selain gagal mengambil notis penghakiman ketika menjatuhkan hukuman denda terhadap responden.
“Mahkamah ini menaikkan hukuman denda RM40,000 kepada RM80,000 bagi setiap kes dan dengan ini rayuan responden/syarikat atas hukuman ditolak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat sebaik pendakwaan menawarkan lapan pertuduhan pilihan ke atas responden membabitkan kesalahan pencemaran udara, pendakwaan tidak boleh bergantung kepada keterangan semasa perbicaraan berkaitan pertuduhan asal yang membabitkan pembuangan enapan ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
“Pendakwaan tidak boleh bergantung dengan pengakuan bersalah pemandu lori, N. Maridass bagi mengaitkan responden dengan kesalahan asal membabitkan pencemaran Sungai Kim Kim. Ini kerana fakta kes tidak menyatakan Maridass melepaskan buangan terjadual yang terhasil daripada proses pirolisis tayar-tayar lama daripada kilang responden,” katanya.
Katanya, Hakim Mahkamah Sesyen ketika menjatuhkan hukuman ke atas responden tidak dipengaruhi liputan media massa yang menyiarkan pencemaran Sungai Kim Kim.
Oleh itu, katanya, tindakan pihak pendakwaan yang merujuk petikan akhbar bagi memohon denda maksimum tidak boleh dipertimbangkan kerana keratan akhbar sekadar ‘khabar angin’ (hear say).
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreen Mamat dan Nurliyana R. Azmi, manakala syarikat P Tech Resources selaku responden pula diwakili oleh peguam, N. Subramaniam dan S. Selvantheran.
Pada 30 November tahun lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim pada 2019.
Kejadian pencemaran pada 13 Mac 2019 itu dilapor menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai akibat pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail (HSI).










