Pasangan kekasih abai anak hingga mati tukar pengakuan tidak bersalah - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih abai anak hingga mati tukar pengakuan tidak bersalah

NORAINI Haron dan Mohd. Khairul Shamsua Israk ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 1 April lalu atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematian.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang kekasih menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak itu pada Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh, Noraini Haron, 42, dan Mohd. Khairul Shamsua Israk, 38, menukar pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. 

Sebelum ini, ketika pasangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 1 April lalu, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 2 Mei lalu bagi laporan forensik, namun Noraini tidak hadir pada prosiding itu sebelum Meor Sulaiman mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap wanita tersebut. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa, Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli, 3, telah mengabaikan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kematiannya.

Kesalahan itu dilakukan dari 18 hingga 24 Mac lalu antara kira-kira pukul 12 tengah hari hingga pukul 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Pada prosiding hari ini, Peguam L. Ramesh yang mewakili Noraini memohon mahkamah membacakan semula pertuduhan kerana anak guamnya mahu menukar pertuduhan sebelum kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah. 

Ramesh juga memohon mahkamah supaya menarik semula waran tangkap terhadap Noraini dengan alasan berlaku salah faham mengenai tarikh sebutan yang lalu. 

Manakala Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan memohon jaminan diteruskan. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan waran tangkap diketepikan dan sebutan semula kes pada 12 Julai depan bagi laporan forensik. 

Pada 27 Mac lalu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson, pada 26 Mac lalu bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dari Hospital Port Dickson pada 24 Mac 2024 memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×