Operator kilang didakwa memandu dalam keadaan mabuk sebabkan kematian remaja - Utusan Malaysia

Operator kilang didakwa memandu dalam keadaan mabuk sebabkan kematian remaja

L. Satish Kumar didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang operator kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, Ahad lalu.

Tertuduh, L. Satish Kumar, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu Mitsubishi Xpander dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 173 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun di Kilometer 41, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas pada pukul 12.15 tengah malam, 16 Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(6)  1987 (pindaan 2020) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun jika didapati bersalah.

Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor S. Vikineswary menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat jaminan.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, R. Sangaran  memohon jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya yang bekerja di Singapura mempunyai tanggungan yang besar dengan gaji RM2,500 sebulan serta ayahnya perlu menjalani pembedahan mata dalam masa terdekat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di Balai Polis Kangkar Pulai setiap bulan serta lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN