Netanyahu bimbang ICC keluar waran tangkap

Netanyahu bimbang ICC keluar waran tangkap

PERDANA Menteri, Benjamin Netanyahu (kiri) dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant menghadiri sidang media di pangkalan tentera Kirya di Tel Aviv.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bimbang Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC) akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant sebelum lawatan ke Washington pada 24 Julai.

20 Mei lalu, Pendakwa Raya ICC, Karim Khan memohon waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant berikutan tuduhan jenayah perang serta jenayah kemanusiaan di Gaza.

Menurut akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, Netanyahu mengadakan perbincangan penting pada Selasa, mengenai kemungkinan besar ICC membenarkan permintaan Karim Khan dan segera mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau dan Gallant.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Kehakiman, Yariv Levin, Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer dan Peguam Negara, Gali Baharav-Miara.

“Netanyahu menjangkakan mahkamah akan bertindak atas permintaan pendakwa raya dan mengeluarkan waran tangkap tidak lama lagi, berpotensi sebelum ucapannya yang akan datang di hadapan Kongres AS pada 24 Julai,” lapor akhbar itu.

Walaupun Amerika Syarikat (AS) bukan ahli ICC, waran tangkap terhadap Netanyahu boleh mendedahkannya kepada kritikan.

Israel juga bukan ahli ICC, manakala Palestin diterima sebagai ahli pada 2015.

ICC ditubuhkan pada 2002 ialah badan antarabangsa bebas yang tidak bergabung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mana-mana institusi antarabangsa lain, dan keputusannya adalah mengikat.

“Kedua-dua Israel dan individu yang menghadapi waran tangkap mempunyai pilihan untuk merayu kepada mahkamah, mengemukakan hujah untuk membatalkan waran itu,” kata akhbar.

Menurut akhbar, 123 negara menandatangani Statut Rom, yang mentakrifkan kuasa ICC.

Negara-negara ini bertanggungjawab untuk menguatkuasakan waran dan menangkap individu yang dinamakan dalam waran.

Israel masih meneruskan perangnya di Gaza walaupun pada masa ini ia dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan kira-kira 37,718 rakyat Palestin terbunuh, manakala 86,337 yang lain cedera dalam serangan ganas rejim Zionis di wilayah itu.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×