Negeri Sembilan lanjut tempoh permohonan penyediaan TLQ - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan lanjut tempoh permohonan penyediaan TLQ

J. ARUL Kumar (kiri) mendengar taklimat disampaikan pengurus penyedia penginapan warga asing, Fitry Yani Ahmad Norwi ketika meninjau keadaan CLQ Pangsapuri Seri Dedap, Bandar Universiti Teknologi Lagenda, Mantin, Seremban.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tempoh prosedur permohonan bagi penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (TLQ) di Negeri Sembilan yang telah tamat pada tahun lalu akan dilanjutkan sehingga bulan Disember 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pelanjutan tempoh itu dibuat bagi memberi ruang kepada pengusaha di dalam menempatkan pekerja asing di negeri ini secara lebih teratur dan tersusun.

Ia juga kata beliau, sebagai persediaan penyediaan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang lebih terancang di negeri ini menjelang tahun 2028.

“Selain bagi penambahbaikan Garis Panduan Perancangan (GPP) CLQ di Negeri Sembilan berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2023 yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan pada 15 Mei lalu. 

“Prosedur permohonan yang dilanjutkan ini juga mengekalkan ketetapan untuk tidak membenarkan TLQ di kawasan perumahan bagi mengelakkan isu sosial dan keselamatan serta memastikan keselesaan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke CLQ Pangsapuri Seri Dedap, Bandar Universiti Teknologi Lagenda, Mantin di sini, hari ini.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, kerajaan negeri komited ke arah penyediaan CLQ yang terancang melalui penambahbaikan Garis Panduan CLQ di negeri ini.

Jelasnya, penambahbaikan itu penting bagi menjamin hak setiap pekerja warga asing dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan terancang di samping menjaga keselamatan, keharmonian dan keselesaan penduduk dan kawasan sekitar.

“Kerajaan Negeri percaya akan lebih banyak CLQ akan dapat diwujudkan selepas ini mengikut kepada GPP yang ditetapkan dan setakat ini sebanyak 22 CLQ telah beroperasi di Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×