KLANG: Gangguan bekalan air berjadual di sekitar Lembah Klang bermula semalam diharap tidak mengambil masa yang lama apabila terdapat sebahagian penduduk hanya menyedari perkara itu malam kelmarin.
Seorang penduduk sebuah pangsapuri di Bandar Botanik di sini, Aizal Shukri, 35, bimbang bekalan air yang disimpannya tidak mencukupi apabila hanya mengetahui makluman itu kurang 12 jam dari waktu gangguan berlangsung.
“Saya amat berharap ia tidak berlarutan sehingga Jumaat sebab hanya menadah air simpanan bermula malam kelmarin (Selasa) untuk kegunaan kami tiga beranak.
“Dengan bekas yang ada, kami tadah sebanyak mungkin dan harap mencukupi untuk kegunaan kami bagi keperluan asas seperti membersihkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Lebih tiga juta penduduk di 664 kawasan dilaporkan mengalami gangguan bekalan air berikutan penyeleggaraan tiga komponen melibatkan injap dan suis di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) bermula 9 pagi semalam.
Penyelenggaraan tersebut dijadualkan siap pukul 7 malam semalam dan pengguna akan kembali menerima bekalan air secara berperingkat bermula pukul 3 pagi hari ini (Khamis) dan pulih sepenuhnya pada Jumaat.
Sementara itu, Maziah Ismail, 53, memberitahu, dia hanya menyedari rumahnya termasuk dalam kawasan yang mengalami gangguan bekalan pada malam semalam.
“Sebelum ini sudah tahu dan ada lihat makluman tersebut di berita, namun saya ingat kawasan rumah saya tidak terjejas kerana difahamkan ia tidak menyebabkan gangguan di seluruh Klang.
“Kemudian bila ada jiran-jiran beritahu yang kawasan rumah ini pun termasuk dan mereka tunjukkan senarai kawasan terjejas, barulah saya tahu dan memang buat persediaan akhir seperti beli baldi. Memang saat akhir, baldi pun beli sekadar yang ada di kedai,” ujarnya.
Katanya, dia berharap tadahan air yang dibuat sebanyak dua baldi itu mencukupi untuk kegunaannya bersama suami.
“Nasib baik kami tinggal berdua. Jadi, kena betul-betul cermat gunakan air. Kalau habis, terpaksalah beli air botol,” selorohnya. – UTUSAN











