KUDAT: Pesakit kanak-kanak berusia lima tahun yang mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dihantar ke Hospital Kudat melalui bantuan aset laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pesakit yang dikenali sebagai Mohammad Ahnaf bin Abdullah mengalami pendarahan dan keretakan tengkorak kepala akibat kemalangan dan perlu segera dikejarkan ke hospital.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Maurice Grenville Abeyeratne berkata, misi bantuan pemindahan perubatan (Medevac) telah dilaksanakan aset ronda Zon Maritim Kudat iaitu bot ADAL 03 setelah menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi sekitar pukul 2 petang.
“Mangsa diiringi ibunya dan seorang petugas kesihatan tiba di Jeti Marina kira-kira pukul 3.05 petang.
“Seterusnya mangsa dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat. Pesakit dilaporkan masih lagi mendapatkan rawatan lanjut oleh pakar yang berkaitan sehingga keadaan berubah kepada stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Maritim Malaysia terus komited membantu komuniti maritim dan sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau MERS999 untuk maklum balas segera.










