PETALING JAYA: Mana-mana bekas wakil rakyat yang ingin menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal berdepan laluan sukar pada masa akan datang.
Ini kerana mahkamah tidak boleh menghalang SPR daripada menjalankan tanggungjawabnya bagi mengisi kekosongan kerusi seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, meskipun terdapat ruang untuk mengemukakan rayuan di mahkamah lebih atasan, namun usaha itu dilihat sukar khususnya menghalang sementara tugas SPR.
Menurut beliau, nasib sama bakal berlaku jika terdapat mana-mana wakil rakyat selepas ini yang ingin memfailkan injuksi sementara untuk menghentikan PRK.
“Seperti keputusan mahkamah semalam (kelmarin), hakim bicara memberi alasan bahawa injunksi sementara tidak boleh diberikan bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut Perlembagaan.
“Ini jelas jika ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kelak nanti jika mahu menghalang atau menghenti tugas SPR mengadakan pilihan raya, peluang dilihat agak tipis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghentikan PRK DUN itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.
Bagaimanapun Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak injuksi itu tidak boleh menjadi rujukan secara mutlak membabitkan kes kekosongan kerusi lain.
Beliau berkata, rujukan itu tertakluk kepada keputusan mahkamah atasan iaitu Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
“Jika ada pihak mencabar di mahkamah atasan, maka ia boleh jadi rujukan kes lain selepas itu,” katanya.
Dalam pada itu, peguam kanan, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan DUN tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.
Katanya, perkara tersebut mengambil kira peruntukan Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan sebarang kesahan prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Beliau berkaata, Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa antara perundangan (Legislatif) dan kehakiman (Judisiari) sekali gus menunjukkan mahkamah tidak boleh mencampuri segala urusan Parlimen termasuk kedudukan ahli Dewan Rakyat.
“Malah ada dua rujukan kes di mahkamah atasan yang pernah memutuskan badan kehakiman tidak boleh mencampuri keputusan dibuat di peringkat Parlimen dan DUN,” katanya. – UTUSAN










