JEMPOL: Seorang lelaki yang bertindak menikam ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di Felda Raja Alias 1, di sini pada hari Sabtu lalu berjaya ditangkap polis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki berkenaan ditangkap kira-kira pukul 12.30 tengah malam di Taman Rasa Sayang Cheras, Kajang, Selangor oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Khas (D9) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Jempol.
Menurutnya, tangkapan berkenaan adalah bersangkut kes yang dilaporkan di Balai Polis Bandar Seri Jempol membabitkan pergaduhan ibu dan anak kira-kira pukul 12.50 tengah hari, 22 Jun lalu.
“Semasa kejadian suspek bersama datuk iaitu bapa mangsa pergi berjumpa dengan mangsa kerana suspek mahu menziarah adik bongsunya yang tinggal bersama mangsa. Suspek merupakan anak kedua mangsa daripada empat adik beradik kandung.
“Semasa kejadian berlaku, bapa mangsa berada di luar rumah manakala suspek bersama mangsa berada di dalam rumah. Bapa mangsa hanya mendengar jeritan dan melihat ada darah di bahagian belakang badan mangsa.
“Suspek telah mengambil kunci kereta daripada bapa mangsa dan melarikan diri dengan menaiki kereta tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka sedalam 2.5 sentimeter di bahagian belakang badan serta telah menerima tiga jahitan.
Menurutnya, mangsa ditahan wad di Hospital Jempol untuk rawatan lanjut susulan kecederaan yang dialami.
“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 28 Jun ini bagi disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun yang sama,” katanya.-UTUSAN.










