JEMPOL: Seorang lelaki yang dipercayai membunuh ibunya sendiri dalam kejadian di Bahau, di sini, semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Norshazwani Ishak di Mahkamah Majistret Bahau selepas membenarkan permohonan polis.
Majistret menetapkan suspek berusia 33 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Julai depan.
Semalam, media melaporkan seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi.
Chang Hook berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati si mati berusia 63 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai di hadapan halaman rumah.
Menurutnya, kedua beranak itu dipercayai bertengkar dan berlaku pergelutan, namun tiada kecederaan disebabkan senjata tajam.
“Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit di rumah tersebut dan punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi proses bedah siasat punca kematian,” katanya.-UTUSAN.










