PORT DICKSON: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson kerana memukul isterinya di sebuah hotel di sini pada 24 Mei lalu dengan kejadian tersebut turut tular di media sosial.
Tertuduh, Mohd. Ridwan Mat Nasir, 37, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang juruteknik telah menggunakan kekerasan jenayah kepada isterinya yang berusia 38 tahun kira-kira pukul 9.50 pagi di tingkat sembilan sebuah hotel di sini pada 24 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan yang mana boleh berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwa yang diwakili Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Asiah Mahmud menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A. Krishnaveni merayu jaminan dikurangkan kepada RM2,500.
Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Kes disebut semula pada 23 Julai ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada 20 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, lelaki itu ditangkap pada 20 Jun lalu di Mahkamah Syariah di Bangi, selepas video berkenaan tular pada 19 Jun lalu.
Difahamkan, lelaki itu ditangkap selepas urusan perceraian dengan isterinya itu.-UTUSAN.








