Latih 10,000 calon SPM tercicir jadi jurutera

Latih 10,000 calon SPM tercicir jadi jurutera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan boleh melatih lebih 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tidak menduduki peperiksaan dalam bidang teknologi terkini bagi mencapai sasaran melahirkan 60,000 jurutera mikrocip seperti terkandung dalam Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, mereka boleh dilatih di institusi kemahiran milik kerajaan seperti Institut Kemahiran Mara, Kolej Vokasional dan Kolej Komuniti untuk diberi pendedahan terhadap teknologi semikonduktor.

“Dalam masa sama, program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkasakan di peringkat sekolah rendah dan menengah supaya lebih cenderung kepeda bidang .

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, gunakan platform media sosial untuk mempromosikan dan menerangkan peluang kerjaya dalam bidang semikonduktor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2023, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memaklumkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Abdul Rahman menambah, kerajaan juga perlu mengenal pasti rakyat Malaysia yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi dalam kejuruteraan mikrocip di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

Katanya, sewajarnya diperkasakan Academia in Factory (AiF) di mana industri akan menjalankan program latihan di peringkat Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) seperti Kolej ViTrox.

“Program peningkatan kemahiran berkaitan kejuruteraan mikrocip perlu diperkenalkan kepada graduan selain bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik serta memperkukuhkan pusat kecemerlangan di universiti-universiti tempatan terpilih serta agensi-agensi kerajaan bagi memastikan graduan yang dihasilkan mengikut spesifikasi jurutera mikrocip,” ujarnya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, belia akan berminat untuk menceburi bidang kejuruteraan jika gaji ditawarkan adalah kompetitif dan peluang bekerja cerah iaitu ada potensi untuk meningkatkan pendapatan serta kerjaya.

Menurutnya, negara ini mengalami situasi guna tenaga tidak penuh atau ketidaksepadanan iaitu rakyat bekerja tidak sepadan dengan kelayakan ijazah dimiliki.

“Berdasarkan statistik Ja­batan Perangkaan, 77.2 peratus yang berumur antara 15 hingga 24 tahun bekerja tidak sepadan dan 41.6 peratus berumur dari 25 hingga 34 tahun juga bekerja tidak sepadan.

“Kerajaan perlu teliti faktor yang menyebabkan lebih 10,000 pelajar tingkatan lima tidak menduduki SPM 2023 dan mungkin satu daripada faktor ialah tiada hala tuju karier yang jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat multinasional yang bertapak di negara ini untuk memastikan gaji yang lebih kompetitif ditawarkan untuk jurutera mirkocip.

Menurutnya, jika ada peluang pekerjaan seperti jurutera mikrocip yang ditawarkan oleh syarikat multinasional yang melabur di Malaysia, ini akan mengurangkan isu ketidaksepadanan, sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini