KUANTAN: Persatuan Kebajikan Radio Amatur Ukhwah (KRAM) merancang membawa 1,000 orang kurang upaya (OKU) dan mualaf bermula dari negeri ini untuk menunaikan ibadah umrah.
Penaung KRAM, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, jumlah berkenaan membabitkan 500 orang OKU dan 500 mualaf.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan senarai nama individu yang akan dipilih menyertai program itu daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) negeri.
“Apabila kita dapat senarai nama itu nanti, kita akan hantar peserta secara berperingkat berpandukan jumlah dana yang berjaya kita kumpul untuk program umrah tersebut selepas ia dilancarkan nanti.
“Cuma buat permulaannya selepas dilancarkan nanti, Pahang akan menjadi perintis program umrah KRAM ini dan selepas itu kita akan perluaskan di seluruh negara,” katanya di sini.

Terdahulu Zuhairi menerima kunjungan kepimpinan dan barisan jawatankuasa KRAM yang melantiknya sebagai penaung persatuan tersebut berkuatkuasa hari ini.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, KRAM mengalu-alukan individu, tokoh serta syarikat korporat untuk menyumbang bagi membolehkan persatuan tersebut melaksanakan program umrah untuk OKU dan juga golongan mualaf.
“Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun nombor Maybank KRAM, 562188368419. Sumbangan dapat membantu kami merealisasikan hasrat OKU dan mualaf untuk merasai peluang menunaikan umrah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KRAM akan terus menjadi pertubuhan yang bergerak di seluruh negara dalam melaksanakan apa jua misi bantuan termasuk bencana banjir.
“Selain itu, KRAM juga terlibat dalam melaksanakan aktiviti amal di seluruh negara sama ada gabungan dengan agensi amal lain atau KRAM bergerak sendiri dalam melaksanakan kerja-kerja amal.
“Program umrah ini adalah program amal baru yang kita lancar bagi memberikan peluang kepada golongan kurang berkemampuan khususnya OKU dan mualaf untuk ke Tanah Suci,” katanya. – UTUSAN










