MELAKA: Tindakan tidak bertanggungjawab seorang peniaga di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten di sini yang mengenakan caj satu peratus atau minimum 10 sen untuk setiap transaksi kod QR, mendatangkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelanggan.
Alasan yang diberikan peniaga wanita berusia 60-an itu, caj berkenaan dikenakan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai tersebut.
Dakwa seorang pelanggan, dia perlu membayar RM14.20 walaupun harga makanan dibelinya bernilai RM14 sahaja.
Situasi itu mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) apabila premis itu diserbu pasukan penguat kuasa hari ini.
Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, semakan dilakukan pihaknya dengan penyedia perkhidmatan pembayaran tanpa tunai terlibat mendapati, tiada caj sedemikian dikenakan kepada pelanggan.
“Setelah kita mengadakan pengesahan, penyedia perkhidmatan tersebut mengesahkan bahawa tiada caj dikenakan terhadap perkhidmatan secara dalam talian yang dibuat oleh peniaga.
“Ini merupakan satu kesalahan dan kertas siasatan sedang dibuat. Saya hendak maklumkan bahawa perkara ini dikesan sejak awal tahun ini.
“Saya hendak tegaskan lagi sekali bahawa kenaikan harga ini tidak berlaku selepas kenaikan diesel, ini dilakukan sejak awal tahun dan terdapat unsur mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi.
Tambah Norena, siasatan dilakukan atas kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala premis itu turut dikompaun RM200 selepas didapati tidak mempamerkan tanda harga. – UTUSAN











