KPDN saran peniaga makanan sedia satu Menu Rahmah

KPDN saran peniaga makanan sedia satu Menu Rahmah

FUZIAH Salleh (tiga kanan) menyampaikan replika Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Kad Meriah Borong Mydin di Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyarankan peniaga makanan di negara ini untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu hidangan Menu Rahmah di premis mereka bagi membantu meringkan beban golongan kurang berkemampuan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, ia merupakan salah satu langkah menarik lebih ramai peniaga untuk layak memperoleh Kad Diskaun Khas Menu Rahmah secara automatik, berbanding prosesnya sebelum inimengambil masa selama enam bulan.

Menurutnya, peniaga tersebut juga berpeluang mendapat tawaran diskaun untuk membeli barangan keperluan perniagaan sehingga 40 peratus.

“Oleh itu, kita sangat menggalakkan peniaga makanan menyediakan sekurang-kurangnya satu hidangan Menu Rahmah sekali gus dapat membantu pengguna.

“Seramai 117 peniaga makanan telah berdaftar sejak Kad Diskaun Khas Menu Rahmah diperkenalkan pada November lalu. 64 peniaga daripada jumlah itu dari Kelantan,”  katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Kad Meriah Borong Mydin di Mydin Mall, Tunjong di sini hari ini.

Fuziah memberitahu, KPDN juga mempunyai tujuh rakan strategik termasuk Mydin, Lotus, Giant dan NSK dan Segi Fresh yang membantu peniaga makanan untuk mendapatkan barangan keperluan perniagaan secara diskaun.

Katanya, peningkatan kos barangan mentah akibat faktor global ketika ini sudah tentunya bakal memberi kelegaan kepada mereka yang ikhlas membantu masyarakat golongan B40 melalui Menu Rahmah.

“Kita akui faktor harga bahan mentah yang tidak menentu dan proses mendapatkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang lama sebelum ini menyebabkan ada dalam kalangan peniaga kurang berminat untuk menyediakan Menu Rahmah.

“Sehubungan itu, KPDN juga telah menjalankan perbincangan dengan rangkaian-rangkaian pasar raya besar seperti Mydin bagi memuktamadkan bentuk bantuan dan sokongan kepada pengusaha-pengusaha Menu Rahmah,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×