ALOR GAJAH: Seramai 126 mahasiswa pelbagai institusi menyertai Program Konvensyen Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dalam usaha memberi pengetahuan tentang tanggungjawab memerangi dan membanteras rasuah.
Program yang menghimpunkan Presiden dan Timbalan Presiden AMAR itu dijalankan selama tiga hari dua malam berobjektif mendedahkan akan bahaya rasuah serta bencana yang akan menimpa negara jika ia tidak dibendung.
Majlis perasmian telah disempurnakan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nazli Rasyid Sulong dan turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd. Rahman serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Nazli berkata, penajaan program kesedaran sebegini mendedahkan golongan muda berkenaan bahaya rasuah kepada diri dan organisasi.
“Maka, kesedaran ini perlu dipupuk dari peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) agar negara tidak tandus modal insan berintegriti dan bersifat anti rasuah di masa hadapan.
“Saya berharap program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan dijadikan sebagai acara tahunan. Ia sekali gus menjadi kempen pencegahan rasuah yang lebih sistematik, bersepadu dan berterusan dalam kalangan mahasiswa yang mana mereka bakal menjawat jawatan sebagai pegawai di sektor awam mahupun swasta,” katanya ketika ditemui di Kem Permata Resort di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Syaiful Rizal berkata, kelompok mahasiswa perlu dari awal didekati untuk diperkukuhkan dengan nilai-nilai murni dan asas pendidikan anti rasuah secara tidak formal bagi memastikan ketelusan serta integriti dapat disemat.
“Inisiatif ini diharapkan dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengamalkan budaya kerja yang baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti serta sikap tanggungjawab dalam tugas yang di amanahkan seawal di peringkat IPT,” katanya. – UTUSAN










